BATU PAHAT – Naib Presiden PKR Datuk Seri Amirudin Shari merayu pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang supaya memberi peluang kepada calon Pakatan Harapan (PH), Onn Abu Bakar yang disifatkan beliau sebagai pemimpin yang dekat dengan masyarakat dan mampu membawa suara rakyat di peringkat negeri.
Menteri Besar Selangor itu berkata, Onn bukan sahaja dikenali di Senggarang, malah mempunyai pengalaman dan hubungan yang baik dengan masyarakat di Batu Pahat, sekali gus diyakini mampu mengangkat isu-isu tempatan ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.
“Insya-Allah kita tawarkan pimpinan yang sudah sebati dan juga tidak asing lagi di Senggarang, khususnya juga di Batu Pahat secara amnya, iaitu Yang Berhormat Saudara Onn.
“Saya percaya beliau akan menjadi wakil yang baik menyuarakan pandangan orang Senggarang, bukan hanya isu-isu yang boleh diangkat di Parlimen, tetapi juga isu-isu setempat yang boleh diketengahkan di DUN Johor.
“Jadi, kepada orang Senggarang, saya harap berikan peluang sekali lagi kepada Saudara Onn sebagaimana sokongan yang diberikan semasa Pilihan Raya Umum lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui MalaysiaGazette selepas program kempen PH di sini, hari ini.
Mengulas kemampuan pentadbiran PH di Selangor sebagai contoh kepada pengundi Johor, Amirudin berkata data terbaharu Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan Selangor kekal sebagai penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
Menurutnya, nilai ekonomi Selangor kini mencecah RM406 bilion dengan peningkatan sebanyak RM28 bilion berbanding tahun sebelumnya.
“Ini adalah contoh bagaimana pembangunan dapat dimajukan. Kita bukan sahaja membangunkan kawasan seperti Petaling dan Shah Alam, malah kawasan di luar bandar juga dibangunkan menerusi sistem dan kaedah yang tersusun, yang boleh dicontohi di Johor,” katanya.
Dalam pada itu, Amirudin menyifatkan sambutan terhadap kempen PH di DUN Senggarang sebagai positif meskipun menerima maklum balas yang bercampur-baur.
Katanya, kehadiran pemimpin utama serta calon PH di beberapa lokasi mendapat sambutan menggalakkan, selain melihat kematangan politik dalam kalangan rakyat Johor yang bersedia menilai setiap tawaran sebelum membuat pilihan pada hari pengundian.
“Ada kematangan politik di kalangan rakyat Johor yang bersedia mendengar, menerima dan membuat penilaian sebaik mungkin untuk mengundi dalam pilihan raya akan datang,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















