MUAR – Di sebalik kehangatan kempen calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang memasuki hari ke enam, aroma sate yang dibakar sejak awal pagi di Warung Cenderawasih di Jalan Sungai Abong, di sini turut mencuri perhatian orang ramai.
Jika pentas politik menjadi tumpuan calon meraih undi, di warung ini pula api dari arangnya membara seawal 7.30 pagi semata-mata mahu memberikan peiuang kepada pelanggan menikmati sate yang bertapak 30 tahun lalu kerana kelembutan daging dan keenakan kuahnya.
Lebih menarik, tinjauan MalaysiaGazette mendapati bukan sahaja penduduk tempatan, malah pengunjung dari luar daerah dan negeri sanggup datang semula selepas gagal menikmati sate itu kerana kehabisan pada kunjungan terdahulu.

Seorang pelanggan dari Melaka, Armieza Md Zaini, 41, berkata, dia bersama keluarga sanggup memandu ke Muar buat kali kedua selepas tidak sempat menikmati sate berkenaan kerana habis dijual pada lawatan pertama.
“Kali pertama kami datang memang tak sempat, sate dah habis sebab itu kali ini kami datang lebih awal dan memang berbaloi.
“Dagingnya lembut, kuah pun sedap sampaikan saya yang sakit gigi pun boleh makan sebab lembut sangat,” katanya.
Seorang lagi pelanggan, Yusoff Mydin, 73, berkata, menikmati sate pada waktu pagi sudah menjadi nostalgia yang tidak dapat dipisahkan di Muar yang tidak terdapat ditempat lain.

Katanya, meskipun sudah bersara hampir 15 tahun, dia masih kerap datang ke bandar itu untuk mengajar kelas al-Quran sebelum singgah menikmati sate dan mi rebus kegemarannya.
“Kalau sebut Muar, orang akan ingat sate pagi dan termasuklah saya dah makan sejak zaman muda lagi sehinggalah mengajar dan pencen.
“Sate di sini sedap, lembut, sedikit garing dan tidak berminyak dan harganya pun masih berpatutan,” katanya.

Bagi Tumin Sujak, 76, warung itu menawarkan tiga pilihan utama iaitu sate lembu, ayam dan sate perut (babat), namun dia menggemari sate lembu.
“Resipi warisan orang lama serta teknik penyediaan yang dikekalkan menjadi faktor utama kenapa saya pilih sate di warung ini,” katanya.
Sementara itu, pengusaha warung berkenaan berkata, Idreana A Hamid, 48, berkata, premis yang diusahakan keluarganya itu sudah beroperasi hampir 30 tahun dan masih mengekalkan resipi asal yang diwarisi daripada pengasasnya.

Menurutnya, antara rahsia keenakan sate adalah penggunaan daging pinang gred A yang diperap secukupnya temrasuk kuah kacang dimasak setiap hari bermula kira-kira pukul 4 pagi supaya pelanggan dapat menikmati rasa yang segar.
“Kami cuba kekalkan harga sekitar RM1.20 hingga RM1.30 secucuk walaupun harga daging semakin meningkat kerana mahu semua orang masih mampu menikmati sate.
“Warung kami mula beroperasi sekitar pukul 7.30 pagi hingga 11.30 pagi, namun kebiasaannya jualan berakhir lebih awal apabila semua sate habis dijual terutamanya di musim PRN ini,” katanya. – MalaysiaGazette
















