KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua hari ini menjelaskan projek LRT3 tidak pernah dihentikan atau digantung sepanjang pentadbiran Pakatan Harapan (PH) antara 2018 hingga 2020.
Sebaliknya, projek tersebut diteruskan dengan langkah rasionalisasi bagi mengurangkan kos projek.
Menurut mereka, pentadbiran PH ketika itu menyokong sepenuhnya projek LRT3 dan menganggapnya sebagai projek kritikal dan penting untuk meningkatkan kualiti kehidupan harian penduduk Lembah Klang.
Dalam kenyataan bersama, Guan Eng dan Pua berkata, perkara tersebut boleh disahkan dengan pihak Prasarana dan MRCB Berhad.
Menurut mereka, pada tahun 2015, pentadbiran BN di bawah Perdana Menteri Najib Abdul Razak telah meluluskan RM9 bilion untuk projek LRT3 dan memberikan Prasarana jaminan kerajaan berjumlah RM10 bilion bagi tujuan meraih dana projek.
Tetapi, Prasarana telah menganugerahkan pelbagai kontrak pakej kerja berjumlah RM15.2 bilion pada Mac 2018, jauh melebihi peruntukan asal RM9 bilion yang telah diluluskan.
Dakwanya, Prasarana pada Mac 2018 telah mengemukakan cadangan belanjawan projek baharu sebanyak RM31.65 bilion serta permohonan tambahan Jaminan Kerajaan sebanyak RM22 bilion bagi mendapatkan pembiayaan untuk projek tersebut.
Cadangan itu dibuat setelah mengambil kira semua kos lain, termasuk tetapi tidak terhad kepada pengambilan tanah, yuran rakan kongsi penyediaan projek (PDP) dan perunding, serta faedah yang akan ditanggung sepanjang tempoh pembinaan.
Guan Eng dan Pua berkata, selepas perubahan kerajaan pada Mei 2018, kerja-kerja projek diteruskan tanpa gangguan, sementara pentadbiran baharu bekerjasama dengan rapat dan secara baik dengan PDP, yang telah dilantik, iaitu MRCB-George Kent, bagi merasionalisasikan kos projek.
“Memandangkan projek LRT3 pada ketika itu hanya siap sebanyak 9%, kami mengambil peluang untuk melantik perunding kejuruteraan bebas bagi meneliti dan mencadangkan langkah-langkah rasionalisasi demi memastikan akauntabiliti yang sewajarnya terhadap projek tersebut.
“Langkah ini adalah penting kerana terdapat banyak hutang luar kunci kira-kira yang “tersembunyi” yang telah ditanggung semasa pentadbiran Najib. Ini adalah tambahan kepada puluhan bilion ringgit hutang yang ditanggung akibat skandal 1MDB bernilai RM50 bilion,” kata mereka dalam kenyataan hari ini.
LRT3 Shah Alam: Sultan Selangor hargai Najib, puji Anwar teruskan projek
Hasil semakan itu, kata mereka, Jemaah Menteri meluluskan pengurangan kos projek sebanyak 47 peratus daripada RM31.65 bilion kepada RM16.63 bilion, sekali gus menjimatkan RM15.02 bilion.
Antara langkah rasionalisasi yang dilaksanakan termasuk mengurangkan tempahan tren daripada 42 set tren enam gerabak kepada 22 set tren tiga gerabak berdasarkan unjuran permintaan penumpang sehingga 2035.
“Kami telah mengutamakan fungsi dan kepraktisan berbanding kemewahan dan kemegahan. Tiada keperluan untuk membina stesen bersaiz MRT bagi sebuah projek LRT,” ujarnya.
Guan Eng dan Pua menambah, penangguhan (bukannya pembatalan) pembinaan lima stesen LRT yang mempunyai unjuran penumpang awal yang rendah, sehingga permintaan masa hadapan mewajarkan pembinaannya, dengan peruntukan teknikal disediakan supaya kelima-lima stesen LRT tersebut boleh dibina pada masa hadapan.

Kelima-lima stesen tersebut sejak itu telah dimasukkan semula selaras dengan perkembangan semasa.
Kerajaan, kata mereka, kini telah menganugerahkan kontrak fasa kedua sebanyak RM5.3 bilion untuk kelima-lima stesen ini, penambahan bilangan tren dan kerja naik taraf lain.
“Ini menjadikan kos keseluruhan projek meningkat kepada RM21.93 bilion, namun masih RM9.72 bilion lebih rendah berbanding kos asal RM31.65 bilion,” katanya.
Menurut mereka, Kerajaan PH turut menukar model PDP kepada kontrak harga tetap bagi mengelakkan peningkatan kos projek, selain menghapuskan insentif yang dikatakan boleh menyebabkan nilai projek meningkat.
Guan Eng dan Pua turut mendakwa hasil pengurangan kos itu, kerajaan dijangka menjimatkan sehingga RM10 bilion lagi dalam pembayaran faedah sepanjang tempoh 25 hingga 30 tahun.
Mereka menegaskan penjimatan tersebut tidak menjejaskan kapasiti atau fungsi LRT3, sebaliknya membolehkan kerajaan menyalurkan lebihan dana kepada program kebajikan rakyat serta projek pembangunan lain.

Semalam, Semalam, Sultan Selangor dalam kenyataannya menzahirkan pengharagaan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung kejayaan pelaksanaan projek Laluan LRT3 Shah Alam yang akhirnya dapat direalisasikan.
Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah, Najib sebelum itu telah mendengar titahnya agar satu kemudahan pengangkutan rel dibina menghubungkan Klang, Shah Alam dan Kuala Lumpur.
“Beta masih ingat, titah kepada Dato’ Seri Najib Tun Razak dahulu, Beta telah memaklumkan kepada beliau semasa satu majlis berbuka puasa di rumahnya pada tahun 2015 dan beliau tanpa ragu menerima cadangan Beta itu.
“Ia susulan keluhan dan rintihan dalam banyak surat yang Beta terima daripada suri rumah (housewives) mengenai suami mereka yang kerap sampai lewat ke rumah selepas waktu kerja kerana terpaksa berdepan dengan kesesakan lalu lintas di Lebuh Raya Persekutuan khususnya.
“Ketika itu, Klang hanya mempunyai dua jambatan yang melintasi Sungai Klang menjadikan masalah kesesakan di waktu puncak bertambah buruk. Sebagai langkah penyuraian trafik segera, pentadbiran Dato’ Seri Najib memansuhkan Plaza Tol Batu Tiga dan Plaza Tol Sungai Rasau pada tahun 2018,” titahnya hari ini.
Baginda bertitah, apabila berlaku pertukaran kerajaan pada tahun 2018, projek LRT3 tergendala lebih 18 bulan dengan tambahan 19 bulan akibat wabak Covid-19 sehinggalah tahun 2021.
Ketika itu, titah baginda Guan Eng bersama penasihatnya Pua dari DAP telah mengecilkan kos pelaburan untuk projek ini atas alasan kononnya ini merupakan ‘projek mega’ sedangkan mereka tidak memahami tujuan pembinaan projek LRT3 ini demi memenuhi kehendak dan keperluan rakyat.
“Beta ingin tegaskan bahawa ini bukan projek mega dan bukan projek untuk bermegah-megah, tetapi ianya projek untuk kepentingan dan kesejahteraan rakyat Beta,” titah baginda.
Titah Sultan Selangor, ketika Kementerian Kewangan di bawah pentadbiran Guan Eng dan Tony Phua juga, saiz setiap stesen telah dikecilkan dan jumlah gerabak keretapi dikurangkan.
Dalam kenyataan tersebut, Guan Eng dan Pua menzahirkan penghargaan dan menjunjung kasih atas keprihatinan Sultan Selangor terhadap projek LRT3 yang memainkan peranan penting dalam mengurangkan kesesakan lalu lintas, memendekkan masa perjalanan serta merangsang pembangunan ekonomi di Selangor. – MalaysiaGazette
















