MUAR – Calon Pakatan Harapan (PH) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Balang, Ayna Soraya Badaruddin mahu menggunakan pengalaman dan latar belakangnya dalam industri maritim untuk mengangkat semula maruah Pantai Leka.
Menurut beliau, tindakan tuntas perlu disusun terutama dalam usaha mendalamkan muara sungai itu secara berkala supaya mendapan lumpur dapat dibersihkan bagi membolehkan lebih banyak bot nelayan dapat mendarat dengan selamat.
Tambahnya, kedudukan Pantai Leka yang berhadapan dengan Selat Melaka menyebabkan mendapan lumpur mudah masuk dan terkumpul, sekali gus menyebabkan muara itu menjadi semakin cetek.

“Akibat water draft yang rendah, pergerakan bot menjadi sangat terbatas. Bila air pasang kurang, bot tersangkut, tangkapan ikan di kawasan pesisir juga terjejas.
“Akhirnya, warga nelayan kita tiada pilihan selain terpaksa meredah ombak lebih jauh ke tengah laut demi mencari rezeki, walaupun terpaksa menanggung kos serta risiko yang lebih tinggi.
“Kekacauan isu prasarana dan kebajikan ini tidak boleh dibiarkan berlarutan tanpa pembelaan,” katanya menerusi media sosial.
Ayna Soraya, 31, yang merupakan graduan Kejuruteraan Maritim dari University of Southampton berkata, beliau juga berhasrat untuk membawa model pembangunan jeti yang berjaya seperti di Pantai Timur ke Pantai Leka.
Menurutnya, beliau tidak mahu jeti di kawasan itu sekadar menjadi tempat menurunkan ikan, sebaliknya mahu membina sebuah ekosistem ekonomi hiliran di kawasan tersebut.
“Di kawasan jeti tersebut, kita boleh wujudkan kluster industri kecil seperti kilang pemprosesan keropok lekor, penghasilan ikan kering, serta pelbagai produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) berasaskan hasil laut.
“Langkah ini bukan sahaja menstabilkan harga hasil tangkapan nelayan, malah membuka peluang pekerjaan dan perniagaan baharu buat kaum wanita serta anak muda tempatan di Sungai Balang, insya-Allah,” katanya.
Pada PRN Johor 11 Julai ini, Soraya bakal berdepan saingan tiga penjuru menentang calon Barisan Nasional (BN), Selamat Takim yang juga penyandang kerusi berkenaan dan Muhammad Amin Sailan mewakili Perikatan Nasional (PN). – MalaysiaGazette
















