Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang), Datuk Seri Azalina Othman Said menyerahkan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada penerima pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) dan Sanjungan Legasi KEJORA Tahun 2025 di Lotus Desaru, Johor. Foto SADIQ SANI, 02 JULAI 2026.

KOTA TINGGI – Gesaan Pas supaya pengundi tidak memberikan undi kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) termasuk di kerusi yang menyaksikan pertandingan dua penjuru antara Barisan Nasional (BN) dan PH, tidak memberi keistimewaan kepada BN.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, itu adalah pendekatan Pas dan BN akan bergerak secara profesional serta kerja keras untuk menang PRN Johor.

“Kita memberikan tumpuan kepada calon-calon kita dan tentunya jika ada sokongan tambahan itu adalah lebih baik.

“Kita mahu melihat bahawa pencapaiannya daripada apa yang akan kita lihat pada 11 Julai nanti apabila peti-peti undi itu (memihak kepada BN) adalah bukti nyata sama ada apa yang mereka katakan itu benar atau sebaliknya,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata demikan dalam sidang akhbar selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025 dan Santunan Kasih Kejora di Lotus Desaru di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi).

Pas membuat gesaan itu dan ketetapan tersebut antara lima resolusi yang diputuskan dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat dipengerusikan Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada Isnin lalu.

Hadi dilaporkan berkata, Pas turut menegaskan komitmennya mempertahankan kuasa politik Melayu dan Islam di Johor menerusi PRN tersebut.

Mengenai dakwaan PRN Johor ketika ini dilihat suram, Ahmad berkata, suasana tersebut ditafsirkan pihak lain dalam keadaan itu tetapi BN merasakan bahawa kempen sedang rancak dijalankan.

Jelasnya yang juga Presiden UMNO, itu adalah hak mana-mana gabungan parti politik untuk mendakwa demikian.

Namun beliau berharap rakyat akan memberikan sokongan kepada BN semasa hari mengundi nanti.- MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast