Ahmad Shabery Cheek bersama Wan Rosdy Wan Ismail di Felda Pemanis 1 dan 2 malam tadi turun padang berkempen bagi calon BN di DUN Pemanis, Anuar Abd Manap

SEGAMAT – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mahu memberi tumpuan penuh terhadap kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan dan mengenepikan hal-hal lain.

Ini termasuk pelantikan semula sebagai Pengerusi FELDA selepas kontrak beliau tamat 30 Jun lalu.

Menurut Shabery, beliau sendiri memilih untuk tidak disambung kontrak secara serta-merta bagi membolehkannya turun padang membantu jentera Barisan Nasional (BN) tanpa sebarang kekangan jawatan rasmi.

Jelasnya, keputusan itu dibuat selepas perbincangan dengan pelbagai pihak berkaitan.

Ahmad Shabery Cheek

“Semalam saya Pengerusi FELDA, hari ini saya bukan lagi memegang jawatan itu.

“Saya berunding supaya tidak dibuat pelantikan segera kerana sepanjang Julai sehingga 1 Ogos merupakan tempoh kritikal kempen PRN Johor dan Negeri Sembilan,” katanya semasa berucap pada Program Santai Menteri Besar Pahang bersama penduduk FELDA Pemanis 1 dan FELDA Pemanis 2 di sini, malam tadi.

Ahmad Shabery berkata, beliau mahu turun sebagai seorang ahli parti dan pejuang BN, bukannya sebagai Pengerusi FELDA yang mungkin menimbulkan persepsi penggunaan kedudukan rasmi untuk tujuan politik.

“Saya tidak mahu turun sebagai Pengerusi FELDA. Saya mahu turun sebagai Ahli MKT dan pejuang Barisan Nasional untuk memastikan kemenangan BN.

“Saya tidak mahu orang melihat saya menggunakan kedudukan atau meminta kakitangan serta pegawai FELDA bergerak untuk kempen sedangkan Menteri FELDA adalah Perdana Menteri sendiri,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyifatkan tindakan Ahmad Shabery itu sebagai satu pengorbanan besar demi parti dan calon-calon BN yang bertanding pada PRN kali ini.

Wan Rosdy Wan Ismail

Menurut Naib Presiden UMNO itu status sebagai Pengerusi FELDA akan menghadkan pergerakan Ahmad Shabery kerana perlu menghadiri pelbagai majlis rasmi serta memenuhi tanggungjawab protokol.

“Beliau merasakan jika masih memegang jawatan Pengerusi FELDA, agak sukar untuk beliau bergerak aktif membantu kempen kerana terikat dengan tugas rasmi.

Anuar Abd Manap

“Sebagai orang parti, beliau sanggup menangguhkan pelantikannya semula demi memastikan kawasan-kawasan FELDA dapat diberi perhatian sepanjang tempoh kempen.

“Baginya jawatan tidak penting, baginya BN, UMNO, calon yang bertanding dapat membantu sebaik mungkin tanpa kekangan jawatan sebagai Pengerusi. Selepas itu cerita lain, Kalau lantik dia termia, kalau tak lantik pun tidak mengapa,” katanya.

Pada PRN kali ini di DUN Pemanis menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Anuar Abd. Manap dan calon Perikatan Nasional (PN), Dr. Ariventharan Anandan dan calon Pakatan Harapan (PH) Jalex Lee En Xiang.

PRN Johor dijadualkan berlangsung pada 11 Julai ini manakala pengundian awal akan diadakan pada 7 Julai. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast