KOTA TINGGI – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan bahawa Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) berhasrat untuk memperluaskan lagi kawasannya, tertakluk kepada perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim dan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah mengesahkan, kajian mengenai perkara itu sedang dijalankan dan setakat ini, 96 peratus responden bersetuju dengan cadangan tersebut.
Bagaimanapun katanya, jumlah kawasan yang bakal terlibat dalam wilayah Kejora masih dikenal pasti.
“Saya ingin sebutkan bahawa tertakluk pada perkenan yang mulia Sultan Ibrahim dan Pemangku Sultan Johor kerana saya tidak mahu timbul persepsi bahawa Kejora berhajat untuk membeli atau memiliki tanah-tanah berkenaan.
“Penyelarasan ini bagi meluaskan pembangunan di kawasan Kejora yang sedia ada kerana didapati kemajuan kawasan-kawasan yang dibangunkan oleh Kejora berada di tahap yang tinggi iaitu 98.3 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikan dalam sidang akhbar selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025 dan Santunan Kasih Kejora di Lotus Desaru di sini hari ini.
Turut hadir Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi).

Zahid berkata, kawasan-kawasan sedia ada yang sudah dimajukan melibatkan pelbagai projek sudah pun mencapai kejayaan.
“Jadi, secara tidak langsung ini membantu kerajaan negeri untuk memperluaskan kawasan di wilayah Johor tenggara ini untuk terus dimajukan,” ujarnya.
Beliau berkata, kawasan Johor tenggara berjaya dibangunkan Kejora sejak 54 tahun lalu daripada kawasan yang ketinggalan menjadi maju termasuk dalam sektor pelancongan.
Sementara itu, Zahid memberitahu, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah sudah memperuntukkan peruntukan RM138 juta dalam tahun ini kepada Kejora untuk melaksanakan projek-projek di kawasan Johor tenggara.
Menurutnya, terdapat 107 program yang telah dilaksanakan dan 350 lagi projek-projek kecil menyusul daripada peruntukan yang sudah diberikan.- MalaysiaGazette
















