BATU PAHAT – Gabungan Pakatan Harapan (PH) mampu membawa pembangunan lebih menyeluruh di Johor berdasarkan pengalaman mentadbir Selangor dan Pulau Pinang, kata calon Pakatan Harapan (PH) DUN Senggarang, Onn Abu Bakar.
Menurut beliau, rekod pentadbiran PH di Selangor dan Pulau Pinang membuktikan keupayaan gabungan itu mengurus negeri dengan baik serta memberi manfaat kepada rakyat tanpa mengira negeri asal mereka.
“Dengan pengalaman yang ada di Selangor dan Pulau Pinang, saya yakin PH mampu membantu membangunkan Johor dengan lebih baik daripada keadaan sekarang,” katanya ketika ditemui selepas ceramah Jelajah Johor Ke Depan Undi Harapan di pekan Senggarang, di sini, malam tadi.
Ceramah itu turut dihadiri Naib Presiden Keadilan yang juga Menteri Besar Selangor , Datuk Seri Amirudin Shari.
Mengulas sambutan terhadap kempennya, Onn yang merupakan Ahli Parlimen Batu Pahat berkata, penerimaan rakyat sepanjang lima hari berkempen di luar jangkaan apabila menerima pelbagai mesej sokongan daripada kumpulan pendidik, imam masjid dan ketua kampung.
“Saya sendiri tidak banyak berkempen, tetapi ramai yang berkempen untuk saya.
“Setiap pagi saya menerima ucapan dan sokongan melalui WhatsApp, malah ada yang mendoakan kemenangan saya pada 11 Julai nanti,” katanya.
Beliau berkata, keyakinan itu turut disokong hasil pendekatannya yang telah lama menyantuni masyarakat di kawasan Parlimen Batu Pahat termasuk di Senggarang dan Rengit.
Onn turut memberitahu, kempen yang dijalankan memberi kesan positif kepada pengundi yang berada di luar Johor, khususnya mereka yang bekerja di Singapura.
Katanya, beliau menerima maklum balas memberangsangkan daripada pengundi berbangsa Cina yang memaklumkan akan pulang mengundi bagi memastikan kemenangan PH di kawasan berkenaan.
Sementara itu, ketika diminta mengulas dakwaan berlaku kelewatan pembayaran bagi program Semarak Syukur Johor melibatkan jawatankuasa masjid, Onn berkata, beliau belum menerima sebarang aduan rasmi berhubung perkara itu.
“Saya belum terima aduan tersebut. Kalau benar berlaku, ia tidak sepatutnya berlaku kerana melibatkan program agama dan pihak yang melaksanakannya perlu dibayar.
“Kalau saya menang nanti, saya minta mereka tampil membuat aduan dan saya akan bawa perkara ini ke pihak berkenaan. Kalau benar ada tunggakan, bayarlah hutang itu,” tegasnya. – MalaysiaGazette
















