Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berucap pada Ceramah Pakatan Harapan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 ketika di Bakri, Muar, Johor. Foto MOHD ADZLAN, 02 JULAI 2026.

MUAR – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke akan memohon untuk mengadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk memberikan penjelasan berkenaan isu pembinaan Laluan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Shah Alam.

Menurutnya, penjelasan berhubung perkara itu juga sudah dibuat hari ini oleh bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua hari ini.

Tambahnya yang juga Setiausaha Agung DAP, isu yang berbangkit juga bukan soal membatalkan projek itu tetapi untuk merasionalisasikan kos projek tersebut.

“Jadi teguran (Sultan Selangor) itu kita terima, tapi saya akan cuba memohon untuk menghadap Tuanku Sultan Selangor untuk memberikan penjelasan,” katanya kepada pemberita selepas program ceramah Pakatan Harapan (PH) sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Bakri di sini, malam ini.

Semalam, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan penghargaan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana menerima cadangan baginda untuk membina Laluan LRT3 menghubungkan Klang, Shah Alam dan Kuala Lumpur.

Menerusi titah perutusan sempena pembukaan Laluan LRT3, baginda bertitah, cadangan pembinaan sistem rel itu disampaikan kepada Najib ketika majlis berbuka puasa pada 2015 selepas menerima banyak surat daripada rakyat terutama suri rumah yang mengadu suami mereka sering pulang lewat akibat kesesakan lalu lintas di Lebuhraya Persekutuan.

Pada masa sama, baginda bertitah, projek LRT3 tergendala lebih 18 bulan susulan pertukaran kerajaan pada 2018 sebelum berdepan kelewatan tambahan selama 19 bulan akibat pandemik Covid-19.

Baginda bertitah, ketika Guan Eng menerajui Kementerian Kewangan bersama Tony Pua sebagai penasihat, kos projek dikecilkan kerana disifatkan sebagai projek mega.

Menurut baginda, tindakan itu menyebabkan saiz setiap stesen dikecilkan, jumlah gerabak dikurangkan dan lima lokasi stesen yang dicadangkan dibatalkan.

Sementara itu, dalam kenyataan bersama, Guan Eng dan Tony Pua hari ini berkata, projek tersebut tidak pernah dihentikan atau digantung sepanjang pentadbiran PH antara 2018 hingga 2020.

Mereka menjelaskan, sebaliknya beberapa peningkatan dan penambahbaikan turut dilaksanakan bagi membolehkan kerajaan mendapat penjimatan kos projek awal. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast