KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) bekerjasama dengan pelbagai institut dan agensi bagi menjayakan program Flood-resilient Initiative for Risk Reduction and Safety: Transfer of Knowledge (FIRST), satu intervensi berfokuskan komuniti bertujuan untuk membina ketahanan kesihatan yang segera di peringkat akar umbi dalam mendepani ancaman penyakit bawaan air dan makanan.
UM dalam kenyataannya hari ini berkata, apabila air banjir mencemari bekalan air bersih setempat dan tempat penyimpanan makanan, kadar jangkitan bakteria, termasuk taun (kolera), demam kepialu (tifoid), leptospirosis (demam kencing tikus), dan penyakit cirit-birit yang teruk, akan meningkat secara mendadak.
Komuniti bandar berpendapatan rendah sering kali menjadi kumpulan yang paling terkesan dan berisiko tinggi terhadap ancaman kesihatan ini.
Cabaran struktur, seperti sistem paip perumahan yang usang dan ruang yang terhad untuk menyimpan makanan dengan selamat, menjadikan usaha memastikan isi rumah bebas daripada kuman semasa banjir kilat satu perjuangan yang amat sukar.
“Program FIRST dirangka khusus untuk merapatkan jurang ini. Projek ini menterjemahkan ilmu perubatan dan sains yang kompleks kepada kemahiran harian yang praktikal, kos rendah, serta mudah diamalkan.
“Bermula dengan mendidik keluarga cara mengenal pasti tanda awal pencemaran makanan dan air, sehinggalah kepada mengendalikan demonstrasi praktikal penapisan air serta menyediakan beg kecemasan (grab bag), inisiatif ini membekalkan keluarga dengan formula segera untuk melindungi diri mereka daripada jangkitan penyakit,” kata Ketua Program FIRST yang juga penyelidik utama, Dr Rafidah Lani.

Sehubungan itu, bagi menangani ancaman tersembunyi tersebut, satu kesepakatan strategik yang menggabungkan penyelidik dari UM dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Jabatan Kesihatan Negeri Selangor serta Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Bulan Sabit Merah Malaysia, dan Persatuan Pelajar Sains Bioperubatan Universiti Malaya telah digerakkan bersama untuk melaksanakan FIRST.
Program berkenaan turut mendapat sokongan geran penyelidikan (Poverty Research Lab UAC 3.0) daripada Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz, UM.
Nadi utama program FIRST terletak pada dua kawasan penempatan bandar yang unik dan mempunyai daya ketahanan yang tinggi di Lembah Klang iaitu Kampung Pasir Baru di Kuala Lumpur dan PPR HICOM di Shah Alam.
Jelasnya, Kampung Pasir Baru mewakili gabungan susun atur perkampungan tradisi-bandar yang mudah terdedah kepada limpahan air sungai yang mendadak manakala cabaran yang dihadapi penduduk PPR HICOM pula adalah ia sebuah di perumahan awam berkepadatan tinggi.
Sekiranya berlaku banjir kilat, fungsi sistem perparitan di aras bawah serta infrastruktur sanitasi bersama akan terjejas dengan pantas.
Walaupun mempunyai latar belakang persekitaran struktur yang berbeza, kedua-dua komuniti terbabit berkongsi realiti yang sama dalam mendepani ancaman banjir kilat bermusim.
Perkara utama yang membezakan program FIRST daripada kempen kesihatan tradisional yang lain adalah pendekatan falsafahnya terhadap komuniti.
Sebelum ini, kebanyakan program intervensi penyelidikan sering melihat komuniti berpendapatan rendah sekadar sebagai subjek pasif untuk dikaji dan diperbetulkan.
Namun, FIRST mengubah dinamik ini secara total dengan berpasak pada satu kebenaran asas: penduduk setempat adalah pakar sebenar bagi persekitaran mereka sendiri. Keluarga yang terpaksa berhadapan dengan bencana banjir kilat beberapa kali setahun mempunyai pengalaman hidup yang sangat mendalam dan tidak ternilai.
“Mereka tahu dengan tepat bagaimana air mengalir di lorong-lorong perumahan mereka, di mana sudut kelemahan struktur rumah mereka, dan apa halangan utama yang menyekat mereka daripada mendapatkan bekalan bersih.
“Hasil penemuan daripada program ini akan digunakan sebagai asas untuk menyokong kesiapsiagaan banjir yang lebih baik di kawasan bandar dan luar bandar, serta penggubalan dasar bantuan banjir perbandaran yang lebih adil dan saksama di seluruh negara,” katanya lagi. -MalaysiaGazette















