JOHOR BAHRU – Kempen calon Pakatan Harapan (PH) untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berjalan lancar sehingga kini walaupun ada unsur sabotaj malah mendapat maklum balas yang baik.
Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, perkara tersebut tidak menjejaskan momentum pergerakan kempen calon-calon PH yang bertanding.
“Adalah sikit-sikit (unsur sabotaj), antaranya poster calon dikoyakkan, billboard yang dipasang turut dirosak serta bendera parti dibakar.
“Walaupun ada unsur kacau ganggu, namun secara keseluruhannya, kempen berjalan dengan tenang,” katanya.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup it u berkata demikan dalam sidang akhbar selepas meninjau pelaksanaan mekanisme bantuan subsidi Budi Madani Diesel di Bandar Dato’ Onn, di sini hari ini.
Turut hadir ialah Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Lilis Saslinda Pornomo.
Menurut Fuziah, jentera kempen PH semakin mendapat sambutan setelah setiap calon menjalankan program yang padat dari pagi hingga malam melibatkan 10 aktiviti sehari.
Beliau berkata, maklum balas pengundi, khususnya golongan muda dan pengundi kali pertama, kekal positif serta menunjukkan peningkatan sokongan terhadap PH.
“Alhamdulillah, kempen berjalan lancar, walaupun ada calon yang pertama kali bertanding, mereka sudah mula mendapat rentak.
“Daripada segi sokongan, ia semakin meningkat, terutamanya daripada pengundi muda yang mahu mendengar dan menilai sendiri pendekatan calon,” katanya.
Ditanya mengenai kehadiran pemimpin tertinggi PH di beberapa lokasi kempen di zon utara, beliau tidak melihat itu sebagai strategi bagi menawan kawasan tersebut sebaliknya lebih dipengaruhi faktor logistik berikutan Parlimen ketika ini sedang bersidang.
“Saya rasalah mungkin dari segi logistik sahaja. Sekarang Parlimen sedang bersidang, jadi agak sukar sedikit untuk pergerakan jentera dan program besar dilaksanakan,” ujarnya.- MalaysiaGazette
















