Pelajar sedang melaksanakan pitching bagi produk kumpulan. - Foto UMS

KOTA KINABALU – Seramai 105 pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) diberi peluang mengaplikasikan ilmu pemasaran dalam situasi sebenar menerusi projek “Dari Kampus ke Komuniti: Pelajar UMS Memperkasa Perusahaan Sosial Melalui IMC”.

Program anjuran Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan (FPEP) itu melibatkan pelajar kursus Integrated Marketing Communication (IMC) yang membangunkan strategi pemasaran untuk 10 perusahaan sosial tempatan.

Pensyarah Kanan FPEP, Dr. Siti Nor Bayaah Ahmad berkata, projek pembelajaran berasaskan pengalaman itu membolehkan pelajar mengaplikasikan ilmu Komunikasi Pemasaran Bersepadu (IMC) bagi menangani cabaran pemasaran sebenar yang dihadapi perusahaan sosial.

Menurut beliau, projek berkenaan turut mendapat sokongan Pusat Pembangunan dan Kecemerlangan Akademik (PPKA) menerusi Dana SULAM berjumlah RM5,755 di bawah Dana Khas Strategik Akademik Universiti.

“Dana ini membolehkan pelajar melaksanakan aktiviti pembelajaran bersama komuniti secara lebih menyeluruh melalui lawatan lapangan, penghasilan bahan promosi serta sesi pembentangan bersama usahawan,” katanya dalam satu kenyataan.

Program itu dirasmikan Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar) FPEP, Prof. Madya Dr. Jakaria Dasan.

Siti berkata, keunikan projek tersebut ialah proses penilaiannya melibatkan lima juri akademik dan 10 juri dalam kalangan usahawan perusahaan sosial bagi memastikan setiap cadangan dinilai daripada perspektif akademik dan industri.

Katanya, pelajar bertindak sebagai perunding pemasaran dengan membangunkan strategi berasaskan elemen produk, harga, saluran pengedaran dan promosi bagi meningkatkan daya saing perusahaan sosial yang terlibat.

Beliau berharap kerjasama strategik antara FPEP, PPKA dan perusahaan sosial tempatan dapat diteruskan bagi memperkukuh agenda pembelajaran berasaskan pengalaman (SULAM), melahirkan graduan kompeten serta menyumbang kepada pembangunan komuniti secara mampan. – MalaysiaGazette



IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast