KUALA LUMPUR – Kira-kira 1,000 penduduk di enam kampung dekat Padawan, Kuching yang terjejas akibat kebakaran menara komunikasi komersial milik Sacofa Sdn. Bhd. di Kampung Semaru, Padawan, Kuching.
Kejadian itu menyebabkan pengguna di kawasan terlibat dijangka mengalami gangguan perkhidmatan komunikasi, termasuk kemerosotan liputan rangkaian serta sambungan yang tidak konsisten.
Kampung terbabit ialah Kampung Semaru, Kampung Biya Parang, Kampung Sapit, Kampung Kiding, Kampung Pesang dan Kampung Subang.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, buat masa ini penduduk disara memanfaatkan kemudahan di NADI Kampung Darul Islam Belimbing, Kampung Bengoh dan Kampung Braang Bayur untuk mendapatkan akses kepada perkhidmatan komunikasi serta kemudahan digital yang berkaitan.
“MCMC telah mengarahkan penyedia perkhidmatan terlibat supaya melaksanakan langkah mitigasi dengan segera, termasuk mengoptimumkan liputan rangkaian sedia ada di kawasan berhampiran serta mengoperasikan Portable Base Transceiver Station (PBTS) bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan komunikasi sementara menunggu infrastruktur yang terjejas dipulihkan sepenuhnya,” katanya hari ini.
Pada masa sama, MCMC akan terus memantau perkembangan situasi dan bekerjasama rapat dengan Sacofa, penyedia perkhidmatan serta agensi berkaitan bagi memastikan usaha pemulihan dilaksanakan dengan lancar, sekali gus mempercepatkan pemulihan perkhidmatan komunikasi kepada pengguna yang terjejas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kebakaran berlaku pada jam 6 petang, 1 Julai lalu.
Punca kebakaran masih dalam siasatan pihak berkuasa, kata MCMC. – MalaysiaGazette















