Calon BN Nor Rashidah Rqmli ketik sesi walkabout sekitar Koperasi Parit Raja, hari ini.

PARIT RAJA – Gelaran Iron Lady Parit Raja yang diberikan oleh penduduk setempat bukan sekadar pujian sebaliknya  membuktikan kerja keras penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N22 Parit Raja, Nor Rashidah Ramli.

Bagi beliau, gelaran itu adalah satu penghormatan namun tanggungjawab menjaga kebajikan rakyat adalah amanah paling besar yang wajib disempurnakan.

“Saya bekerja seperti wakil rakyat lain. Dari Subuh kita bersama-sama berjemaah di surau di bawah program Semarak Subuh dan selepas itu meneruskan tugas dengan menyantuni penduduk di sini.

“Itulah rutin saya turun padang dan bertemu masyarakat sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan harian yang sangat sebati dengan saya.

“Khidmat kepada rakyat tidak pernah ada waktu rehat dan saya bersyukur kerana suami turut sama membantu menguruskan hal-hal kebajikan penduduk termasuk membantu urusan kematian,” katanya ketika ditemui ketika program walkabout di sini hari ini.

Nor Rashidah yang kembali dicalonkan berkata, fokus utamanya adalah untuk meneruskan pelbagai rancangan pembangunan infrastruktur yang sedang berjalan.

“Sudah ada perancangan yang perlu diteruskan selepas ini selain projek-projek yang telah siap seperti projek Jalan FT050 yang sudah siap.

“Saya juga akan memastikan bantuan kebajikan sama ada secara bulanan atau sekali beri (one-off) terus sampai kepada setiap lapisan masyarakat di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) Johor.

“Saya berharap sokongan berterusan daripada pengundi Parit Raja untuk BN kerana kami tidak menabur janji kosong, tapi nilalilah sendiri dengan apa yang telah kami lakukan,” katanya.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ke-16, DUN N22 Parit Raja menyaksikan pertandingan tiga penjuru.

Nor Rashidah yang mewakili Barisan Nsional (BN) akan ditentang Shazwan Dzainal Abidin (PH-DAP) dan Dr Mohamed Maliki Mohamed Rapiee (PN-Bersatu).

Sebagai rekod pada pilihan raya sebelum ini, Nor Rashidah berjaya memenangi kerusi DUN Parit Raja dengan meraih 10,634 undi sekali gus menang dengan majoriti sebanyak 4,219 undi.

Nor Rashidah merupakan salah seorang daripada empat calon wanita yang diletakkan BN untuk edisi PRN kali ini.

Parit Raja terletak di kawasan Parlimen Sri Gading dan mempunyai 38,184 pengundi berdaftar.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari mengundi pada 11 Julai 2026. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast