TEHRAN – Iran memulakan peringkat pertama upacara penghormatan terakhir kepada Pemimpin Revolusi Islam, Ayatollah Seyyed Ali Khamenei, dengan kehadiran kenamaan asing serta tokoh agama yang memberikan penghormatan di Grand Mosalla, di sini.
IRNA melaporkan, jenazah pemimpin itu bersama jenazah lain dibawa ke Grand Mosalla, Teheran pada awal pagi Jumaat dan ditempatkan di dewan solat utama sebagai persediaan bagi upacara penghormatan terakhir selama dua hari yang dibuka kepada orang ramai.
Wakil daripada pusat-pusat Islam, pertubuhan masyarakat sivil serta gerakan antiperang dan antihegemoni dari beberapa negara Eropah, termasuk Itali, Belanda, Britain, Denmark dan Austria, telah tiba di Teheran bagi menghadiri atau membuat liputan media mengenai upacara tersebut.
Upacara akan diteruskan pada Sabtu dan Ahad dengan jenazah ditempatkan untuk penghormatan umum di Grand Mosalla sebelum perarakan pengebumian di sekitar Teheran pada Isnin.
Majlis penghormatan seterusnya dijadualkan berlangsung di kota suci Qom, diikuti upacara di Baghdad, Karbala dan Najaf di Iraq, sebelum jenazah dikebumikan di Makam Imam Reza di Mashhad, bandar kelahiran beliau pada 9 Julai.
Khamenei, 86, terkorban pada hari pertama serangan Amerika Syarikat dan sekututunya ke atas Tehran pada 28 Februari lalu.- Agensi
















