JOHOR BAHRU – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan kenyataan Nga Kor Ming, berhubung isu pembebasan awal bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai pandangan peribadi.
Beliau berkata, isu yang dibangkitkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu tidak memberi kesan besar kepada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
“Saya fikir itu pendapat peribadi beliau dan saya tidak fikir itu memberikan kesan yang banyak di Negeri Johor.
“Itu sebabnya saya fikir janganlah permainkan isu-isu yang tidak ada kaitan dengan Johor,” katanya ketika ditemui pemberita di Dewan Raya Taman Cempaka, Kempas, di sini, hari ini.
Terdahulu, Kor Ming dilaporkan berkata, beliau akan menjadi individu pertama meletakkan jawatan sekiranya Najib dibebaskan tanpa sebarang kesalahan.
Pada masa sama, Ahli Parlimen Teluk Intan itu juga membayangkan DAP akan menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan sekiranya perkara itu berlaku kerana ia adalah “garis merah” parti terbabit.
Kor Ming mendakwa UMNO Johor berulang kali menyuarakan hasrat supaya Najib dibebaskan lebih awal dengan slogan “UMNO menang besar, Najib pulang ke rumah”.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menasihatkan Kor Ming supaya lebih profesional dalam mengeluarkan kenyataan walaupun wujud perbezaan pandangan dalam kalangan parti komponen Kerajaan Perpaduan.
“Saya akan memberikan nasihat kepada beliau supaya lebih profesional walaupun kita berbeza pandangan mengenai sesuatu isu itu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















