KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke wajar meletakkan jawatan sekiranya Barisan Nasional (BN) mencatat kemenangan besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Bekas Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil berkata, sekiranya ramalan bekas Ahli Parlimen Bangi, Dr. Ong Kian Ming bahawa BN akan memenangi 53 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di PRN Johor, ia akan menjadi referendum rakyat terhadap kepimpinan Kerajaan Perpaduan sekali gus membuktikan Anwar gagal mengekalkan sokongan asas penyokong sendiri.
“Kalau BN menang besar di Johor, Anwar dan Anthony Loke dulu kena letak jawatan. Jadi Perdana Menteri pun tak boleh tarik sokongan penyokong sendiri, orang Cina pun tak percaya kepada DAP.
“Buat malu muka dan menghabiskan beras sahsja,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Kian Ming yang meramalkan peluang BN untuk memenangi sekurang-kurangnya 53 daripada 56 kerusi DUN kini melebihi 60 peratus selepas seminggu tempoh berkempen.
Menurut Kian Ming, unjuran tersebut dibuat berdasarkan perkembangan semasa kempen selain jangkaan penyusutan sokongan pengundi Cina dan India terhadap Pakatan Harapan (PH).
Beliau turut berpandangan PH berdepan beberapa kelemahan termasuk ketiadaan naratif kempen yang kukuh dan belum menamakan calon Menteri Besar.
Malah dalam unjuran dilaksanakannya, PH dijangka hanya memperoleh tiga kerusi berbaki di kawasan ditandingi manakala Perikatan Nasional (PN) diramalkan gagal memperoleh sebarang kemenangan.
Selain itu, beliau juga berpendapat, PH telah menimbulkan lebih banyak masalah sepanjang kempen termasuk kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang beliau akan meletakkan jawatan Kabinet sekiranya BN menang besar di Johor dan kemenangan itu membawa kepada pembebasan Datuk Seri Najib Razak. – MalaysiaGazette
















