JOHOR BAHRU – Johor memperluas inisiatif Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) ke sekolah agama di negeri ini dalam usaha mentransformasi pendidikan agama Islam di negeri ini.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, penubuhan Sekolah Agama Rintis Bangsa Johor (SARBJ) itu adalah tambahan kepada empat SRBJ yang sudah beroperasi sebelum ini.
“Alhamdulillah, dari segi SRBJ ini adalah cetusan ilham daripada Pemangku Sultan Johor (Tunku Mahkota Ismail). Jadi, kita sudah buat empat sekolah iaitu dua sekolah rendah serta dua sekolah menengah dan kita akan buat satu untuk sekolah agama dan kita tak berhenti di situ, insya-Allah untuk tadika pun kita akan buat, tetapi ini adalah usaha sama dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Sambutan Hari Guru Agama Negeri Johor sempena Konvensyen Pendidikan Islam Negeri Johor 2026 di Arena Larkin di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid dan Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Dr Nooh Gadut.
Sementara itu, Mohd Fared ketika berucap pada majlis itu memaklumkan, sekolah agama yang terpilih bagi tujuan SARBJ itu terletak di Kota Iskandar, Iskandar Puteri dan akan dimulakan tahun ini.
“Sekolah agama ini akan cukup serba serbinya, dengan pembelajaran digital dan guru-guru terbaik. SARBJ ini akan terus dibina di setiap daerah nanti,” katanya.
SRBJ adalah inisiatif transformasi pendidikan ilham Tunku Mahkota Ismail dan empat sekolah rintis yang terpilih sebelum ini adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kota Puteri 4, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kota Puteri 2 di Pasir Gudang dan SK Tasek Utara dan SMK Tasek Utara di Johor Bahru.
Pada masa sama, dalam majlis itu, Onn Hafiz turut melancarkan Buku Kod Etika Guru Agama Johor serta menyampaikan Anugerah Tokoh Pendidkan Islam Negeri Johor dan Anugerah Tokoh Guru Agama Kerajaan Johor.
Beliau turut menyokong enam resolusi yang dibentangkan hasil Simposium Pendidikan Islam Negeri Johor 2026 dan akan dibawa untuk perkenan istana.
“Setelah mendengar dengan teliti resolusi yang dibentangkan tadi, kita akan angkat enam resolusi ini dan membawanya untuk perkenan Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Tunku Mahkota Ismail,” katanya. – MalaysiaGazette
















