Calon PH N.51 Bukit Batu, Arthur Chiong Sen Sern bercakap pada Majlis Pelancaran Manifesto DUN Bukit Batu, di Bilik Gerakan Utama DUN Bukit Batu, Kulai. Foto SADIQ SANI, 03 JULAI 2026.

KULAI – Manifesto Pakatan Harapan (PH) yang dilancarkan hari ini disifatkan sebagai tepat pada waktunya dalam keadaan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang sudah berjalan hampir seminggu.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Chang Lih Kang berkata, Manifesto PH lewat diumumkan kerana perlu mengambil masa untuk menyiapkannya kerana perlu memperhalusi keperluan rakyat Johor.

“Ada parti yang langsung tidak ada manifesto. Antara punca kita lewat umum manifesto kerana Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan secara tergesa-gesa. Kita perlukan melakukan kajian sebelum melancarkan manifesto.

“DUN dibubarkan secara mengejut. Jadi hari ini manifesto kita dilancarkan di tengah-tengah masa berkempen dan ini masa yang paling sesuai,” katanya.

Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang bercakap pada Majlis Pelancaran Manifesto DUN Bukit Batu, di Bilik Gerakan Utama DUN Bukit Batu, Kulai. Foto SADIQ SANI, 03 JULAI 2026.

Beliau berkata demikan dalam sidang akhbar selepas melancarkan Manifesto Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu di Bilik Gerakan Utama DUN Bukit Batu, Taman Impiana, Kelapa Sawit di sini hari ini

Turut hadir calon PH untuk DUN Bukit Batu, Arthur Chiong Sen Sern.

Lih Kang berkata, bagi Manifesto DUN Bukit Batu adalah 7 Tekad Untuk Bukit Batu dengan tawarannya untuk beberapa penyelesaian masalah di situ.

Jelasnya, tidak semua DUN yang ditandingi PKR dalam PRN itu mempunyai manifesto sendiri seperti di Bukit Batu yang dilakukan atas inisiatif parti di cabang berkenaan.

Tambah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu, selain DUN Bukit Batu, DUN Skudai dan DUN Perling juga ada melancarkan manifesto masing-masing.

PH hari ini menggariskan 10 tawaran utama dalam manifesto PRN Johor yang memberi tumpuan kepada kos sara hidup, pemilikan rumah, peluang pekerjaan, pendidikan, kesihatan serta pembangunan ekonomi negeri.

Manifesto bertemakan ‘Johor Untuk Semua’ itu dilancarkan pada hari keenam kempen PRN Johor dengan menawarkan pelbagai inisiatif yang disifatkan mampu meningkatkan taraf hidup rakyat, di samping memperkukuh kedudukan Johor sebagai antara negeri pemacu ekonomi negara.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast