KUALA LUMPUR – Syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan berpeluang memperluaskan pasaran halal ke peringkat antarabangsa menerusi penyertaan dalam Mega Halal Bangkok 2026 yang akan berlangsung di Queen Sirikit National Convention Center (QSNCC), Bangkok, Thailand dari 15 hingga 17 Julai ini.
Pameran perdagangan halal itu dijangka menjadi antara platform terbesar di Asia Tenggara dengan menghimpunkan pengeluar, pembeli perdagangan, pengedar serta pemain industri dari rantau ASEAN dan pasaran global.
Ketua Pegawai Eksekutif SHAPERS, Datuk Mohd Shukri Abdullah berkata, penganjuran acara berkenaan memberi fokus kepada usaha membantu usahawan tempatan khususnya PKS dan Bumiputera menembusi pasaran Thailand serta negara lain selain mendapatkan akses kepada pembeli antarabangsa.
“Penganjuran ini turut berlangsung serentak dengan Mega Show Bangkok yang dijangka meningkatkan kehadiran pembeli perdagangan antarabangsa sekali gus mengukuhkan kedudukan Thailand sebagai hab perdagangan utama ASEAN.
“Acara ini dianjurkan Comasia Limited dengan kerjasama SHAPERS, Thailand Food Institute (NFI) dan Thai Muslim Trade Association (TMTA) sebagai platform untuk merancakkan perdagangan halal rentas sempadan di samping mengukuhkan rangkaian bekalan halal serantau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lebih 200 pempamer dari lebih 10 negara dan wilayah dijangka mengambil bahagian meliputi sektor makanan dan minuman halal, kosmetik, penjagaan diri, farmaseutikal, kesihatan dan kesejahteraan, fesyen muslim, produk gaya hidup serta teknologi halal.
Antara negara yang mengesahkan penyertaan termasuk Malaysia, Thailand, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, China dan Taiwan sekali gus menjadikan pameran itu platform strategik bagi mempromosikan produk halal Asia ke pasaran global.
Perkembangan itu selari dengan pertumbuhan pesat ekonomi halal dunia yang dipacu peningkatan permintaan terhadap produk dan perkhidmatan halal di pelbagai negara.
Bagi memperluaskan penyertaan antarabangsa, pihak penganjur turut melaksanakan siri promosi di Malaysia, Thailand, Indonesia, Jepun dan China selain mendapat sokongan organisasi halal serta rakan media di Afrika Selatan, Korea Selatan, Pakistan dan Bangladesh.
Kempen promosi turut diperluaskan di beberapa hab penerbangan utama termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Lapangan Terbang Suvarnabhumi Bangkok, Lapangan Terbang Soekarno-Hatta Jakarta dan Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong.
Selain itu, beberapa syarikat peruncitan utama Asia termasuk Big C dan Lotus’s dari Thailand serta Indomaret dari Indonesia turut mengesahkan penyertaan sebagai pembeli perdagangan sekali gus membuka peluang kepada pempamer menjalin kerjasama secara langsung dengan rangkaian pengedaran terbesar di rantau ini.
Sementara itu, Pengarah Comasia Limited, Peter Cheung berkata, penganjur menyasarkan kehadiran kira-kira 15,000 pengunjung dan pembeli perdagangan pada penganjuran tahun ini, meningkat berbanding sekitar 7,500 pada edisi sulung tahun lalu.
Beliau berkata, setakat ini lebih 220 daripada kira-kira 250 ruang pameran yang disasarkan sudah ditempah dengan penyertaan dijangka terus meningkat menjelang pembukaan pameran.
Sebagai galakan kepada peserta antarabangsa, pihak penganjur menawarkan penginapan percuma selama dua malam di hotel lima bintang mesra halal kepada pembeli perdagangan dan peserta yang layak. – MalaysiaGazette
















