Noraini Ahmad.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perladangan dan Komoditi menyambut baik penerimaan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) oleh Netherlands Food and Consumer Product Safety Authority (NVWA), sebagai Private Control System di bawah kerangka pelaksanaan European Union Deforestation Regulation (EUDR).

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, pengiktirafan itu memperkukuh kedudukan MSPO sebagai standard pensijilan nasional yang mempunyai sistem audit, pensijilan dan kawal selia yang tersusun.

Menurutnya, hasil penilaian yang dijalankan, MSPO diterima sebagai sistem jaminan pihak ketiga yang boleh menyokong penyeliaan berkaitan pematuhan terhadap EUDR.

“Penerimaan MSPO sebagai Private Control System membuka ruang kepada penghantaran minyak sawit Malaysia yang mempunyai pensijilan MSPO untuk dipertimbangkan di bawah prosedur penyeliaan yang bersesuaian oleh NVWA, tertakluk kepada keperluan yang ditetapkan di bawah EUDR.

“Belanda mempunyai kedudukan penting dalam perdagangan minyak sawit ke pasaran Eropah, khususnya melalui Rotterdam yang menjadi antara pintu masuk utama komoditi pertanian ke rantau berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noraini berkata, pengiktirafan itu hadir pada waktu yang tepat memandangkan EUDR akan mula dikuatkuasakan kepada pengendali besar dan sederhana bermula 30 Disember 2026, diikuti pengendali kecil pada Jun 2027.

Katanya, perkembangan itu turut menyokong kesiapsiagaan industri sawit negara dalam memenuhi keperluan kelestarian, kebolehkesanan dan pematuhan rantaian bekalan di pasaran antarabangsa, termasuk melibatkan pekebun kecil di bawah pensijilan MSPO.

Beliau berkata, kementerian akan terus memperkukuh pelaksanaan MSPO bersama agensi berkaitan, badan pensijilan, juruaudit, pemain industri dan rakan strategik antarabangsa.

“Tumpuan akan diberikan kepada aspek pematuhan, audit, kebolehkesanan serta bimbingan kepada pekebun kecil dan pemain industri bagi memastikan sektor sawit negara bersedia menghadapi pelaksanaan EUDR,” katanya.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada pihak MSPO, Lembaga Pemegang Amanah, badan pensijilan, juruaudit, pemain industri, pekebun kecil serta semua pihak yang telah memainkan peranan dalam memperkukuh kedudukan MSPO sebagai standard nasional yang inklusif dan berwibawa.

Menurutnya, pengiktirafan tersebut memperkukuh usaha Malaysia membangunkan industri sawit yang mampan, bertanggungjawab dan berdaya saing selaras dengan kehendak pasaran antarabangsa serta kepentingan eksport komoditi negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast