Seekor ibu gajah setia yang berada di samping anaknya yang mati dilanggar kereta meruntun hati pengguna Jalan Felda Nitar menghala ke Kahang di Mersing semalam.

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) telah melaksanakan pelbagai inisiatif sebagai langkah mitigasi konflik manusia dengan gajah, termasuk menerusi Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation (EFT) bagi menangani kemalangan melibatkan hidupan liar.

Menterinya, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, data menunjukkan dari tahun 2021 hingga Mei 2026, sebanyak 76,361 aduan konflik hidupan liar direkodkan di seluruh negara dengan anggaran kerugian sebanyak RM58.7 juta.

Peningkatan ini disebabkan pengecilan, pemecahan dan kemerosotan habitat semula jadi akibat pembukaan tanah, pembangunan infrastruktur, aktiviti pertanian serta perubahan guna tanah, sehingga mengganggu laluan tradisional pergerakan gajah yangmeningkatkan kemungkinan pertembungan antara haiwan ini dengan manusia, tambahnya.

Sambil manyatakan rasa dukacita terhadap kematian anak gajah yang dilanggar sebuah kenderaan di Jalan Felda Nitar, Mersing, Johor, kelmarin, beliau berkata, kewujudan tanaman pertanian yang menjadi sumber makanan mudah diperoleh, seperti kelapa sawit, pisang dan tebu menarik gajah keluar dari habitat asalnya, sekali gus meningkatkan kekerapan konflik dengan manusia.

Beliau berkata, antara inisiatif yang dilaksanakan ialah Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG) bagi melindungi kawasan berisiko tinggi supaya keselamatan penduduk dilindungi.

NRES juga membangunkan Santuari Gajah Johor (JES) secara berfasa sebagai antarainisiatif strategik untuk menguruskan habitat dengan lebih sistematik.

Bagi mengurangkan pergerakan gajah ke kawasan penempatan dan pertanian, di sebalik tiga food bank sedia ada, NRES merancang membina tambahan 21 ‘food bank’ di Johor.

“Kerajaan turut menyediakan inisiatif Bantuan Kerugian Harta Benda dan Tanaman (BKHT) sebagai dana kepada pemilik yang mengalami kerugian harta benda dan tanaman akibat serangan hidupan liar, termasuk gajah,” katanya.

Dalam masa sama, kementerian memperkukuh pelbagai langkah mitigasi, termasuk operasi translokasi gajah, pembangunan koridor hidupan liar, penyelidikan serta pelaksanaan National Elephant Conservation Action Plan (NECAP) 2.0 bagi memastikan usaha menangani konflik manusia dan hidupan liar dilaksanakan secara lebih berkesan dan mampan.

NRES menyeru semua pihak tidak melihat insiden ini sebagai isu terpisah, sebaliknya keseimbangan antara pembangunan, keselamatan manusia dan pemuliharaan hidupan liar perlu terus diperkukuh melalui kerjasama semua pihak. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast