Sebatang pokok berusia lebih 150 tahun tumbang hingga mengakibatkan lelaki warga emas berusia 83 tahun terperangkap dalam kejadian di Jalan Batu Gantung, Pulau Pinang malam tadi.

GEORGE TOWN – Bomba menyelamatkan seorang lelaki warga emas berusia 83 tahun yang terperangkap di dalam rumahnya selepas sebatang pokok dipercayai berusia lebih 150 tahun tumbang menghalang laluan keluar kediamannya di Jalan Batu Gantung di sini, malam tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong, PBK I Mohd Zaini Zainudinberkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.48 malam sebelum tiba di lokasi kira-kira tujuh minit kemudian.

Katanya, seramai 19 anggota bomba bersama dua anggota MRS digerakkan ke lokasi dengan bantuan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kampung Pisang, PBS Bukit Bendera, PBS Lebuh Bakau, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Mohd Zaini.

Menurutnya, dua rumah terjejas dalam kejadian itu apabila rumah pertama mengalami kerosakan pada pintu pagar dan sebahagian bumbung tanpa membabitkan penghuni, manakala rumah kedua mengalami kerosakan pada pagar dan bumbung tempat letak kereta, selain sebuah daripada tiga kenderaan di situ turut rosak.

“Sebaik tiba di lokasi, kami dimaklumkan seorang lelaki warga emas terperangkap di dalam rumah kedua selepas laluan keluar dihalang pokok tumbang. Bagaimanapun, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Semua dahan yang menghalang laluan penghuni sudah dipotong dan dialihkan, namun kerja mengangkat dahan besar dilakukan pihak MBPP menggunakan kren.

“Kita juga difahamkan pokok yang tumbang itu dipercayai dikategorikan sebagai pokok warisan dengan anggaran usia melebihi 150 tahun dan berat lebih 50 tan,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Mengulas lanjut beliau berkata, pihaknya berdepan kesukaran ketika operasi berikutan terdapat kabel elektrik yang terjatuh selain batang dan dahan pokok yang terlalu besar sehingga menyukarkan kerja pemotongan.

MBPP terpaksa menggunakan khidmat kren untuk mengalihkan pokok yang dianggarkan seberat 50 tan itu.

“Kami juga bimbang sekiranya pokok itu mengalami pergerakan kerana ia boleh menyebabkan petugas terjatuh dan mengalami kecederaan.

Sebaik selesai kerja-kerja menyelamat, operasi diserahkan kepada pihak MBPP untuk tindakan lanjut termasuk mengalihkan pokok tumbang itu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast