Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook ketika Majlis Peluncuran Program Pembaharuan Teksi MADANI Nasional di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 3 JULAI 2026.

KUALA LUMPUR – Program Pembaharuan Teksi Madani Nasional bakal menamatkan sistem pajakan lama dalam industri teksi apabila pemandu diberikan hak milik kekal ke atas kenderaan baharu yang dibeli menerusi skim berkenaan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kelulusan khas daripada Kementerian Kewangan (MOF) itu membolehkan pemandu teksi menjadi pemilik sah kenderaan yang dibiayai menerusi institusi kewangan.

Menurut beliau, kaedah pembiayaan itu berbeza daripada amalan tradisional yang menyaksikan pemandu hanya menyewa atau memajak kenderaan tanpa memiliki aset berkenaan.

“Ini bukan skim lama atau cara lama yang memajakkan teksi tersebut. Pemilik atau pemandu adalah pemilik sah kepada kenderaan itu walaupun ada pembiayaan dengan institusi kewangan.

“Hak milik itu kekal bersama pemandu,” katanya ketika berucap pada majlis peluncuran Program Pembaharuan Teksi Madani Nasional yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dataran Merdeka, hari ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berucap ketika Majlis Peluncuran Program Pembaharuan Teksi MADANI Nasional di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 3 JULAI 2026.

Dalam perkembangan sama, Loke berkata, model Proton S70 dipilih sebagai teksi rasmi baharu negara berdasarkan ciri keselamatan, keselesaan penumpang serta kecekapan penggunaan bahan api.

Katanya, identiti baharu teksi Malaysia juga akan tampil lebih moden tanpa penggunaan penanda atas bumbung (taxi topper) dan menggunakan siri nombor pendaftaran khas bermula dengan huruf “GET”.

Selain itu, beliau berkata, kementeriannya bersama pihak swasta akan memperkenalkan pemasangan skrin iklan digital di dalam kabin teksi sebagai sumber pendapatan tambahan kepada pemandu.

“Pada masa sama, sistem tempahan digital melalui platform e-hailing turut akan diintegrasikan bagi meningkatkan daya saing industri teksi negara,” katanya. – Malaysia Gazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast