JOHOR BHARU – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak sepatutnya dijadikan medan untuk membina sokongan terhadap nasib politik mana-mana individu, sebaliknya tumpuan perlu diberikan kepada masa depan lebih empat juta rakyat negeri itu.
Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Danish Hairudin menegaskan, rakyat Johor akan menentukan kerajaan negeri bagi tempoh lima tahun akan datang dan bukannya mengundi untuk memenuhi agenda politik peribadi atau keluarga.
“Saya benar-benar hairan apabila ada pihak cuba mengheret PRN Johor menjadi referendum terhadap nasib seorang individu.
“Persoalannya, adakah rakyat Johor akan keluar mengundi untuk menentukan masa depan negeri ini, atau dipaksa mengundi demi memenuhi agenda politik peribadi?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kempen pilihan raya seharusnya memberi tumpuan kepada isu yang benar-benar menyentuh kehidupan rakyat seperti ekonomi, peluang pekerjaan, kos sara hidup, pendidikan, bekalan air, banjir, perumahan mampu milik dan masa depan golongan muda.
Katanya, rakyat Johor ketika ini mahukan lebih banyak pelaburan berkualiti, peluang pekerjaan berpendapatan tinggi, pembangunan infrastruktur yang lebih baik serta penyelesaian terhadap pelbagai isu asas yang masih membelenggu mereka.
“Itulah referendum sebenar yang patut dibahaskan dalam PRN Johor, bukannya referendum untuk seorang individu,” katanya hari ini.
Mengulas kenyataan anak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mengaitkan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) di Johor sebagai isyarat rakyat mahu bapanya diberikan pengampunan diraja, Danish berkata setiap anak berhak mempertahankan ibu bapa mereka, namun perkara itu tidak seharusnya dijadikan agenda pilihan raya.
“Sebagai seorang anak, beliau mempunyai hak untuk mempertahankan bapanya dan tiada siapa mempertikaikan hak tersebut.
“Namun jangan sesekali memperalatkan rakyat Johor untuk memperjuangkan agenda politik keluarga.
“Pilihan raya negeri bukan pentas membina tekanan politik terhadap proses kehakiman atau menjadikan rakyat sebagai alat untuk membersihkan legasi mana-mana individu,” tegasnya.
Beliau turut mengingatkan Najib telah disabitkan bersalah dalam kes SRC International serta disabitkan di Mahkamah Tinggi dalam perbicaraan utama membabitkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Menurutnya, penghakiman Mahkamah Tinggi turut menolak pembelaan Najib merupakan mangsa yang diperdaya, sebaliknya mahkamah memutuskan terdapat hubungan yang jelas antara beliau dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho, dalam pelaksanaan penyelewengan dana 1MDB.
“Malah mahkamah juga menolak dakwaan bahawa wang yang diterima merupakan sumbangan kerabat diraja Arab Saudi dan memutuskan dana itu sebenarnya berasal daripada 1MDB.
“Mahkamah turut memutuskan Najib bukan seorang pemimpin yang naif atau diperalatkan, sebaliknya mempunyai kawalan serta pengaruh yang besar dalam urusan 1MDB ketika menjadi Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat syarikat itu,” ujarnya.
Sehubungan itu, Danish berkata beliau tidak memahami mengapa masih ada pihak yang mahu menjadikan PRN Johor sebagai platform membina simpati terhadap seorang individu yang proses rayuannya masih berjalan di mahkamah.
“Apa yang lebih penting ialah masa depan lebih empat juta rakyat Johor, bukannya masa depan politik seorang individu,” katanya lagi. -MalaysiaGazette
















