Ka Siong pada program bersama komuniti Cina Paloh di Dewan Kampung Gajah, Paloh hari ini.

PALOH – MCA menyifatkan sentimen kempen DAP yang mendakwa kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 ini akan membebaskan Datuk Seri Najib Razak sebagai satu kenyataan yang tidak memahami proses perundangan negara.

Presidennya, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong berkata, setiap individu yang telah dijatuhi hukuman perlu melalui prosedur undang-undang yang ditetapkan termasuk urusan di bawah Jabatan Penjara dan proses memohon pengampunan.

Menurutnya, perkara tersebut merupakan asas perundangan yang sepatutnya difahami oleh semua pihak.

“Calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N30 Paloh, Lee Ting Han serta Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang merupakan pengamal undang-undang arif tentang proses berkenaan.

“Prosedur sama yang pernah dilalui oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini dalam memohon pengampunan,” katanya ketika hadir program bersama komuniti Cina Paloh di Dewan Kampung Gajah, Paloh di sini.

Ka Siong berkata, kemenangan BN dalam pilihan raya bukan satu tiket atau jaminan mutlak untuk mengeluarkan seseorang dari hukuman sesuka hati sekiranya proses pengampunan itu sendiri tidak diizinkan.

“Sebarang keputusan berhubung pengampunan adalah tertakluk di bawah bidang kuasa Lembaga Pengampunan dan Yang di-Pertuan Agong, bukannya ditentukan oleh kemenangan mana-mana parti politik.

“Tak ada satu undang-undang yang boleh kita sandarkan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ka Siong turut membidas dakwaan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang menuduh MCA bersubahat dengan Perikatan Nasional (PN) sambil menyifatkannya sebagai satu fitnah yang tidak masuk akal demi merosakkan imej lawan.

“Dakwaan kononnya terdapat pakatan atau muslihat tertentu antara MCA dan Pas dalam pilihan raya sengaja direka-reka tanpa bersandarkan logik akal yang waras.

“Apa muslihat DAP cuba kaitkan MCA dengan Pas sedangkan parti itu sendiri mempunyai sejarah bekerjasama rapat dengan Pas sebanyak tiga kali sebelum ini,” katanya lagi.

Jelas Ka Siong, ketiadaan calon daripada sesebuah parti dalam sesuatu pertandingan tidak boleh dijadikan asas mudah untuk menuduh wujudnya kolaborasi atau subahat politik.

“Cubaan DAP melemparkan tuduhan melulu sedemikian seolah-olah menganggap rakyat tidak mampu menilai kebenaran.

“Rakyat tak bodoh. MCA tidak akan terkesan dengan strategi kempen berunsur fitnah, tapi kami akan fokus kepada gerak kerja parti dalam membentangkan agenda pembangunan Johor di bawah kepimpinan Datuk Onn Hafiz Ghazi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast