Antara PATI yang ditahan dalam Ops Mega Bersepadu yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Plaza GM, Bandar Botanik di sini pada Rabu. - Foto JIM

KLANG – Seorang wanita yang disyaki menggunakan MyKad milik individu lain antara 86 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan dalam Ops Mega Bersepadu di Plaza GM, Bandar Botanik di sini pada Rabu. 

Operasi bermula jam 5 petang itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), membabitkan 125 pegawai penguat kuasa.

JIM dalam satu kenyataan memaklumkan, operasi berkenaan dijalankan hasil risikan dan aduan awam yang dikumpul selama dua minggu.

Menurut kenyataan itu, pemeriksaan terhadap 50 premis perniagaan dan 327 individu membawa kepada penahanan 86 warga asing dari China, Kemboja, Filipina, Myanmar, Indonesia, India, Bangladesh dan Pakistan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Antara PATI yang ditahan dalam Ops Mega Bersepadu yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Plaza GM, Bandar Botanik di sini pada Rabu. – Foto JIM

“Ketika operasi dijalankan, beberapa warga asing cuba melarikan diri namun cubaan itu berjaya dipatahkan hasil koordinasi pasukan operasi dan penggunaan dron bagi memantau laluan keluar,” menurut kenyataan itu.

Dalam operasi sama, JIM turut mengeluarkan 11 Borang 29 (Saman) kepada warganegara Malaysia bagi membantu siasatan.

JPN pula menahan seorang wanita yang disyaki menggunakan kad pengenalan milik individu lain untuk disiasat mengikut Akta Pendaftaran Negara 1959 (Akta 78).

Kesemua warga asing yang ditahan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.

JIM menegaskan tiada kompromi akan diberikan terhadap mana-mana warga asing yang memasuki negara secara tidak sah, tinggal melebihi tempoh dibenarkan atau menyalahgunakan kemudahan pas.

Menurutnya, tindakan tegas turut akan diambil terhadap majikan, pemilik premis atau individu yang menggaji, melindungi atau bersubahat dengan PATI. – MalaysiaGazette



IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast