KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menggagalkan cubaan beberapa warga asing yang telah disenaraihitam daripada memasuki Malaysia melalui lorong tikus di sempadan Kelantan, semalam.
Kejayaan tersebut hasil Operasi Khas yang dilaksanakan bermula jam 5.10 pagi di dua lokasi sekitar Kota Bharu, Kelantan melibatkan pegawai Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya bersama JIM Negeri Kelantan serta kerjasama strategik Unit Risik Marin, MO PPM W3 Pengkalan Kubor, Tumpat.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, pihaknya menyerbu lokasi pertama di sekitar terminal bas dan menahan lapan lelaki Bangladesh, tiga lelaki serta seorang perempuan warganegara Indonesia.
Di lokasi kedua, di sekitar kawasan perumahan, pasukan operasi berjaya menahan seorang perempuan Myanmar walaupun suspek cuba melarikan diri.
Kesemua individu yang ditahan berusia antara 22 hingga 55 tahun, menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan seramai 13 orang.
Menurut beliau, operasi ini dijalankan hasil maklumat awam serta risikan yang dijalankan.
Operasi ini turut menyita masing-masing empat naskhah pasport Bangladesh dan Indonesia serta sebuah kenderaan jenis Proton Preve dipercayai digunakan bagi memudahkan pergerakan warga asing terbabit.
“Siasatan awal mendapati terdapat antara mereka yang ditahan telah disenaraihitam daripada memasuki Malaysia, namun bertindak menggunakan laluan yang tidak diwartakan bagi mengelakkan pemeriksaan imigresen.
“Kesemua warga asing tersebut ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c), Akta Imigresen 1959/63 sebelum dibawa ke Pejabat Imigresen untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zakaria menambah, Jabatan Imigresen Malaysia akan terus komited dalam membanteras sebarang aktiviti penyeludupan migran dan akan mempergiatkan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan, kedaulatan serta kesejahteraan negara terus terpelihara. – MalaysiaGazette















