KLUANG – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengesahkan menerima borang Rumah Bangsa daripada Bekas Ketua Bahagian Bersatu Tenggara, Hassan Rasid untuk kembali bersama UMNO.
Menerusi hantaran di Facebooknya, Asyraf Wajdi berkata, kepulangan bekas pemimpin Bersatu itu yang tekad memilih untuk kembali bernaung bersama UMNO.
“Saya berharap momentum penghijrahan semula ini mampu memperkukuhkan saf perjuangan parti, khususnya dalam mendepani cabaran politik semasa di peringkat akar umbi.
“Semoga kemenangan milik Barisan Nasional di DUN Panti dan sama-sama kita istiqamah dalam agenda tradisi membela rakyat demi agama, bangsa dan negara,” tulisnya.
Dalam pada itu, menerusi surat permohonan rasmi yang dikemukakan Hassan, beliau menzahirkan rasa rendah diri dan penuh keikhlasan agar pucuk pimpinan parti dapat mempertimbangkan rayuannya untuk diterima semula sebagai ahli.
Untuk rekod, Hassan bukanlah asing dalam landskap politik tempatan apabila pernah memegang jawatan sebagai Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Tenggara sebelum dipecat daripada keahlian parti pada tahun 2015.
Selepas fasa dinamik dan gelora politik melanda negara, Hassan kemudiannya diberi kepercayaan memikul tanggungjawab besar selaku Ketua Penaja, sehinggalah menerajui kepimpinan Bersatu Bahagian Tenggara selama tujuh tahun.

Pengaruhnya di kawasan berkenaan turut menyaksikan Hassan dipertaruhkan sebagai Calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Panti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 yang lalu.
Menerusi surat berkenaan juga, Hassan menjelaskan telah mengambil keputusan rasmi keluar daripada Bersatu pada 2 November 2024.
Langkah itu diambil berikutan hilangnya rasa kepercayaan beliau terhadap corak pengurusan parti berkenaan.
Mengulas lanjut mengenai hasrat kepulangannya ke ‘Rumah Bangsa’, Hassan mengakui perantauan politik yang dilaluinya sepanjang tempoh tersebut telah mematangkan pandangan peribadinya mengenai realiti serta denyut nadi rakyat di lapangan.
“Pengalaman tersebut telah memberikan saya pendedahan yang luas mengenai kehendak rakyat, kepentingan perpaduan orang Melayu serta keperluan kepada sebuah parti yang kukuh dan berpengalaman seperti UMNO dalam memperjuangkan agama, bangsa dan negara,” tulisanya dalam surat berkenaan. -MalaysiaGazette
















