BATU PAHAT – Tindakan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Sri Medan yang menyokong kempen Pakatan Harapan (PH) disifatkan sesuatu yang pelik dan janggal
Ini kerana menurut Naib Ketua Pemuda UMNO Johor, Dr Mohammad Aswad Ithnain, Bersatu bukan sebahagian daripada komponen PH serta tidak menjalinkan kerjasama politik dengan gabungan tersebut.
Tambahnya, tindakan Bersatu Sri Medan itu juga memakan diri kerana ia sekali gus membuktikan momokan undi Barisan Nasional pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan dapat DAP, tidak benar sama sekali.
“Terkini kepimpinan Bersatu Sri Medan menyokong PH adalah sesuatu yang disebut anak muda sebagai kepelikan politik kerana ia secara mutlak telah menolak tohmahan undi BN dapat DAP.
“Taktikal ini akan memakan diri terutamanya penyokong PH dan Bersatu,” ujar Ketua Pemuda UMNO Bahagian Parit Sulong itu dalam satu kenyataan.
Beliau menegaskan, golongan muda di Sri Medan dan Semerah menolak politik murahan dan adu domba seperti itu.
“Ternyata kempen secara berhemah sangat diterima di sini dan menolak budaya cabar mencabar dalam media sosial,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kempen diteruskan di kawasan tersebut dengan kehadiran bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang turun padang membantu jentera parti di DUN Sri Medan.
Katanya, Khairy meneruskan perjalanan kempen dengan menyantuni ketua-ketua pemuda cawangan di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Parit Gantong.
“Sebelah malam Khairy terus ke DUN Sri Medan untuk memantau gerak kerja pemuda-pemuda di PDM Parit Abd Rahman dan PDM Parit Dayong,” katanya.- MalaysiaGazette
















