Kempen itu telah dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.

KUALA LUMPUR – Kempen ConnectKL iaitu sebuah inisiatif komuniti menggalakan orang ramai di ibu kota untuk berhenti seketika, berhubung semula dan meluangkan masa bermakna bersama melalui secawan kopi.

Dianjurkan selama sebulan oleh HWC COFFEE, ConnectKL mengajak masyarakat di sekitar Lembah Klang untuk meluangkan sekurang-kurangnya 10 minit daripada rutin harian mereka sama ada bersama rakan sekerja, ahli keluarga, sahabat, jiran atau sekadar mengambil ruang untuk berehat dan menyegarkan minda.

Ketua Pegawai Eksekutif HWC COFFEE, Zenda Ng berkata, kempen tu membawa mesej hubungan yang lebih erat dan komuniti yang lebih kukuh sering bermula daripada detik-detik kecil dalam kehidupan seharian.

Kempen itu turut mencerminkan kepercayaan HWC COFFEE bahawa secawan kopi boleh memainkan peranan yang bermakna dalam mendekatkan orang ramai serta mewujudkan ruang untuk berhubung dalam kehidupan seharian.

“Kami percaya secawan kopi bukan sekadar minuman tetapi juga medium yang menyatukan manusia. Setiap hari kami melihat rakan sekerja bertemu sebelum memulakan tugas, keluarga menikmati sarapan bersama, pelajar mengulang kaji pelajaran dan sahabat meluangkan masa untuk berbual.

“Melalui ConnectKL, kami berharap lebih ramai rakyat Malaysia akan mengambil 10 minit yang bermakna untuk mengetepikan telefon bimbit, berhubung semula dengan insan tersayang dan menghargai detik-detik kecil yang paling bermakna dalam kehidupan,” katanya dalam satu kenyataan sempena majlis pelancaran ConnectKl semalam.

Kempen itu telah dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh di mana ia akan berlangsung sehingga 31 Julai ini.

Melalui inisiatif itu, HWC COFFEE akanmenyalurkan lebih RM350,000 nilai HWC Bakery dan Brownie Crisp secara percuma sepanjang Julai ini.

Usaha itu bukan sahaja bertujuan menggalakkan penyertaan dalam kempen ConnectKL tetapi juga untuk menjadikan detik kebersamaan harian lebih mudah diakses oleh masyarakat di sekitar Lembah Klang.

Sementara itu, dalam ucapannya, Hannah menyambut baik inisiatif yang menggalakkan komuniti yang lebih erat melalui interaksi harian yang sederhana tetapi bermakna.

“Membina Kuala Lumpur yang lebih baik bukan sekadar tentang infrastruktur. Ia adalah tentang mewujudkan lebih banyak peluang untuk orang ramai berhubung, mengukuhkan komuniti kita, dan meningkatkan kualiti hidup bagi semua yang menganggap bandar ini sebagai tempat tinggal mereka,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast