Onn Hafiz Ghazi
[ARKIB] Menteri Besar Johor yang juga calon BN N.26 Machap, Datuk Onn Hafiz Ghazali bercakap pada media selepas Majlis Penyampaian Amanat Kepada Jentera Barisan Nasional Bahagian Batu Pahat sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Kampung Mengkudu, Rengit, Batu Pahat. Foto AIZAT ZAINAL, 30 JUN 2026.

KUALA LUMPUR – Pelan Induk Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) adalah dokumen Kerajaan Malaysia dan ia tidak memerlukan kelulusan Singapura.

Malah proses libat urus serta maklum balas dari pihak Singapura juga telah selesai, kata Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai maklum balas terhadap kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.

Tambah beliau, ketika ini, pelan induk itu hanya menunggu untuk dilancarkan oleh kementerian berkaitan atau pada majlis yang diputuskan oleh Kerajaan Persekutuan.

“Sebab itu saya berpandangan, apabila Perdana Menteri menyatakan seolah-olah pelan induk ini masih perlu menunggu persetujuan pada Leaders’ Retreat, dan seterusnya memerlukan tandatangan Perdana Menteri dari kedua belah pihak, kenyataan itu tidak tepat dan mengelirukan rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Tambah Pengerusi Perhubungan Barisan Nasional (BN) itu, tujuan beliau membangkitkan isu pelancaran JS-SEZ adalah kerana ramai pelabur yang bertanya dan menantikan perkara itu.

Pelancaran pelan induk itu juga akan memberi keyakinan kepada pelabur untuk terus melabur di JS-SEZ di mana limpahan manfaatnya juga akan dirasai oleh Kerajaan Pusat untuk kebaikan Bangsa Johor dan rakyat Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2026/07/03/js-sez-projek-kerajaan-persekutuan-sudahlah-tak-berterima-kasih-mencela-pula-pmx/

Jelasnya, kenyataan yang dibuat beliau beberapa hari lalu berhubung pelancaran JS-SEZ bukan untuk mencela atau menyalahkan mana-mana pihak.

Sebaliknya, ia merupakan tanggungjawab Kerajaan Negeri untuk memastikan setiap inisiatif strategik yang membawa manfaat kepada Johor dilaksanakan mengikut jadual dan dipercepatkan, selain terus memberikan kepastian dan keyakinan kepada para pelabur.

“Saya mungkin tidak cerdik tetapi lagi merisaukan jika Perdana Menteri dilihat tidak teliti dan cerdik dalam membuat kenyataan yang tidak tepat.

“Ia memberi kesan bukan sahaja pada rakyat Malaysia dan Bangsa Johor tetapi juga buat pelabur yang telah dan berpotensi melabur di JS-SEZ ini,” katanya yang berpandangan Perdana Menteri telah memberi gambaran yang tidak tepat terhadap pelan induk tersebut.

Semalam, Anwar menegur Onn Hafiz “tidak cerdik” kerana dikatakan menggunakan JS-SEZ sebagai modal kempen pada Pilihan Raya Negeri Johor.

Katanya, JS-SEZ merupakan inisiatif Persekutuan yang sedang dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan negeri.

Menurut Anwar, tandatangan berkaitan JS-SEZ masih di antara Perdana Menteri Malaysia dan Singapura, dan belum sampai ke tahap menteri besar.

Projek itu juga sedang berjalan dengan belanja yang tinggi, serta menerima bantuan daripada kerajaan pusat. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast