Ramanan

SIMPANG RENGGAM – Rakyat Johor digesa untuk memberikan mandat kepada Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 bagi memastikan agenda kemajuan negeri dapat dipacu dengan lebih pantas, tersusun dan berkesan.

Ia dapat dibuat menerusi kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri R. Ramanan berkata, Johor kini berada pada landasan yang tepat untuk muncul sebagai hab ekonomi utama negara, namun potensi tersebut hanya dapat direalisasikan sepenuhnya sekiranya wujud keselarasan pentadbiran.

“Keselarasan antara kedua-dua peringkat kerajaan Pusat dan Negeri itu amat penting bagi mempercepatkan pelaksanaan pelaburan impak tinggi.

“Ia sekal gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti serta meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya ketika menyampaikan ceramah pada siri Jelajah Johor Ke Depan, Undi Harapan yang dihadiri ratusan penyokong dan penduduk setempat di sini.

Beliau berkata, Kerajaan Madani telah membuktikan komitmennya terhadap pembangunan Johor melalui pelbagai dasar, projek strategik dan bantuan yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.

“Johor sentiasa menjadi antara keutamaan Kerajaan Persekutuan dengan pelaksanaan pelbagai pelaburan dan pembangunan infrastruktur yang sedang rancak berjalan bagi memastikan setiap keluarga di negeri ini menikmati hasil kemajuan negara.

“Salah satu pemangkin utama adalah pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang disasarkan mampu mencipta ratusan ribu peluang pekerjaan bergaji tinggi di samping meningkatkan daya saing Johor sebagai destinasi pelaburan bertaraf antarabangsa,” katanya lagi.

Jelasnya lagi, selain memfokuskan kepada pelaburan berskala besar, kerajaan turut memberi perhatian serius kepada pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), melahirkan usahawan tempatan serta menggalakkan kepulangan tenaga profesional Malaysia dari luar negara.

“Agenda pembangunan kerajaan bukan sekadar tertumpu kepada aspek ekonomi semata-mata, sebaliknya turut menekankan kesejahteraan rakyat menerusi pelbagai inisiatif mengurangkan kos sara hidup seperti penyediaan perlindungan kesihatan menyeluruh, pembinaan rumah mampu milik, bantuan keluarga muda, peluasan pusat jagaan kanak-kanak, serta sokongan golongan belia.

“Ada beberapa inisiatif baharu kementeriannya termasuk Skim Pengembara Perkeso yang menyediakan perlindungan keselamatan sosial kepada lebih 450,000 pekerja Malaysia yang berulang-alik ke Singapura setiap hari,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ramanan berkata, pelaksanaan Skim Lindung 24 Jam yang memperluaskan perlindungan keselamatan sosial kepada lebih sembilan juta pekerja sektor formal di Malaysia tanpa mengira sama ada mereka berada di tempat kerja atau di luar waktu bekerja.

“Tidak hanya itu, bagi mendepani cabaran industri masa hadapan, agenda TVET terus diperkukuh.

“Ia memberi tumpuan kepada bidang teknologi tinggi seperti Kecerdasan Buatan (AI), automasi, robotik dan teknologi hijau bagi memastikan tenaga kerja tempatan kekal berdaya saing,” jelasnya lagi.

Sementara itu, menyentuh mengenai isu-isu tempatan di DUN Layang-Layang, Ramanan mengambil maklum rintihan penduduk termasuk masalah capaian internet, sistem perparitan, keselamatan akibat anjing liar, peluang pekerjaan serta keperluan menaik taraf kemudahan asas.

“Semua isu tersebut memerlukan penyelesaian menyeluruh menerusi kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan supaya tindakan dapat dilaksanakan dengan lebih cepat serta memberi impak nyata kepada rakyat.

“Saya menyeru seluruh rakyat Johor supaya memilih PH pada PRN Johor ini bagi memastikan kesinambungan pembangunan, kestabilan pentadbiran, serta kemajuan ekonomi negeri dapat diteruskan demi kesejahteraan generasi hari ini dan akan datang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.