Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO, Mohd Hafiz Ariffin.

JOHOR BAHRU – Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO, Hafiz Ariffin mendakwa manifesto Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak menawarkan hala tuju baharu.

Sebaliknya beliau mendakwa PH mengangkat agenda pembangunan yang telah dilaksanakan kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional (BN).

“Sebahagian besar teras manifesto PH termasuk pembangunan Johor-Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ) industri bernilai tinggi dan kecerdasan buatan (AI) merupakan dasar yang sedang digerakkan kerajaan negeri.

“Malah pembangunan mampu milik, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pemerkasaan belia, sektor agromakanan serta pengukuhan integrasi ekonomi Johor-Singapura ditiru PH,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Hafiz turut mempersoalkan beberapa komitmen utama yang ditawarkan PH, antaranya mewujudkan 250,000 peluang pekerjaan berkualiti, membina 80,000 rumah mampu milik menyediakan dana RM1 bilion untuk PKS.

“Ini termasuk dana RM500 juta bagi pembangunan anak muda serta perlindungan kesihatan untuk 100,000 rakyat. Hairannya manifesto PH tidak memperincikan sumber pembiayaan dan mekanisme pelaksanaannya,” katanya.

Jelasnya, perbezaan antara BN dan PH bukan terletak pada jumlah sasaran atau nilai tawaran yang diumumkan, tetapi pada rekod pelaksanaan, sambil mendakwa pelbagai inisiatif dijanjikan BN telah pun dilaksanakan di Johor.

“Rakyat Johor akan membuat penilaian berdasarkan pencapaian dan hasil yang dapat dilihat, bukannya semata-mata janji yang terkandung dalam manifesto,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast