Pengundi cina PRN Johor 16
Calon Pakatan Harapan N.09 Bukit Gambir, Mohd Nor Mohd Yusof menyantuni masyarakat cina sambil mengedarkan flyer manifesto sempena Pilihan Raya Negeri Johor ke-16 ketika di Pekan Bukit Gambir, Muar. Foto MOHD ADZLAN, 29 JUN 2026.

MEMASUKI separuh masa kedua kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, dapat diperhatikan parti-parti politik bertanding mula melipatgandakan gerak kerja kempen masing-masing.

Suasana di kebanyakan kawasan di Johor yang agak suram pada hari-hari awal kempen, kini semakin meriah dan bertukar wajah.

Di setiap ceruk Johor ketika ini, sama ada di kawasan bandar mahupun di kampung-kampung, bahan kempen sama poster, banting, papan tanda atau risalah calon-calon bertanding boleh dilihat di mana-mana.

Meskipun bahan kempen Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) lebih mendominasi, namun parti-parti lain seperti Perikatan Nasional (PN); Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan Parti Bersama Malaysia (Bersama) juga tidak kalah dalam persaingan di kerusi-kerusi yang ditandingi mereka.

Namun sesuatu yang jelas sehingga kini adalah sikap terlalu bersahaja atau mungkin boleh dinilai `dingin’ dalam kalangan pengundi Cina.

Tinjauan MalaysiaGazette dalam kalangan pengundi Cina juga tidak memperlihatkan keterujaan yang tinggi untuk turut serta dalam PRN Johor kali ini.

Melainkan di lokasi-lokasi ceramah yang dihadiri pemimpin tertinggi sama ada daripada blok PH atau BN, di lokasi-lokasi lain masyarakat Cina dilihat tidak begitu berminat untuk berbicara berkenaan `pesta’ PRN Johor yang sedang berlangsung ketika ini.

“Tahu ada pilihan raya sebab saya nampak banyak bendera, tengok lah nanti kalau ada masa saya pergi undi,” kata seorang pengusaha kedai ketika disapa di Muar, Johor semalam.

Dr. Hussain Yusri Zawawi.

Diajukan perkara itu, pemerhati politik tempatan, Dr. Hussain Yusri Zawawi berkata, situasi tersebut bukan asing dalam kalangan pengundi Cina dalam mana-mana PRN, termasuk di Johor ketika ini.

Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Undang-undang dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) itu, antara alasannya kerana ramai pengundi Cina melihat PRN hanya melibatkan perubahan kerajaan negeri, bukannya akan mengubah kerajaan di peringkat Persekutuan.

Ujarnya, pendirian itu lebih kritikal dalam kalangan pengundi yang berada di luar Johor termasuk di Singapura yang berasakan bukan keperluan mendesak untuk mengeluarkan kos dan masa bagi pulang mengundi pada PRN.

“Jika mereka merasakan keputusan pilihan raya tidak memberi kesan besar kepada politik negara, kecenderungan untuk pulang mengundi menjadi lebih rendah,” katanya.

Sekiranya keadaan seperti itu benar-benar berlaku, keputusan PRN Johor kali ini mungkin boleh diramal akan memberi kelebihan dan kemenangan mudah kepada BN di banyak kerusi.

Ini kerana hakikat yang tidak boleh ditolak ketika ini, pendirian dan sokongan pengundi Cina masih terlalu kuat dan tidak berbelah-bahagi kepada PH atau lebih tepat DAP.

Sehubungan itu, seperti dikongsikan Hussain Yusri, pengurangan jumlah pengundi Cina biasanya memberi kesan kepada PH khususnya DAP, yang banyak bergantung kepada sokongan pengundi di kawasan bandar dan kawasan bercampur.

Barangkali disebabkan itu juga, pemimpin-pemimpin PH dari mula berkempen sehingga ke hari ini, tidak pernah terlepas mengingatkan pengundi-pengundi luar untuk pulang mengundi pada Sabtu ini.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook hadir pada Ceramah Pakatan Harapan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 ketika di Bakri, Muar, Johor. Foto MOHD ADZLAN, 02 JULAI 2026.

Begitupun, ujarnya, BN juga tidak boleh terlalu yakin kerana dalam politik, keadaan boleh berubah pada saat-saat akhir.

Katanya, kempen yang berkesan dan kejayaan membawa penyokong keluar mengundi masih boleh mengubah keputusan.

Bagi PH dan DAP, jelas beliau, jika benar penyokong mereka kurang berminat untuk keluar mengundi, perkara ini perlu diberi perhatian serius.

Menurut beliau, PH dan DAP perlu mencari semula cara untuk meyakinkan penyokong bahawa setiap pilihan raya, termasuk PRN, tetap penting.

“Jika kadar keluar mengundi dalam kalangan pengundi Cina benar-benar rendah, ia bukan sahaja meletakkan BN dalam potensi memenangi lebih banyak kerusi.

“Tetapi pada masa yang sama, ia menjadi isyarat awal kepada PH dan DAP bahawa mereka perlu bekerja lebih keras menjelang PRN Negeri Sembilan dan PRU-16 nanti,” katanya.

Sehubungan itu, PH dan DAP masih mempunyai masa kira-kira seminggu lalu menjelang hari penentuan Sabtu ini untuk memastikan masyarakat Cina menjalankan tanggungjawab masing-masing sebagai pengundi.

Ia bukan soal bagi menentukan kemenangan semata-mata, tetapi juga sebagai peringatan bahawa proses demokrasi tidak akan berjalan dengan sempurna tanpa penglibatan sepenuhnya pengundi yang layak.

Selain itu, sebuah kerajaan negeri yang benar-benar kukuh juga perlu dibentuk menerusi mandat besar dan kepercayaan penuh yang diberikan rakyat, bukannya sekadar melepasi 50 peratus yang menjalankan keluar mengundi. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast