Datuk Dr. Maszlee Malik.

JOHOR BAHRU – Pakatan Harapan (PH) tidak mengumumkan calon Menteri Besar Johor sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ini kerana menghormati peranan Sultan Johor dalam menentukan pelantikan jawatan itu selepas keputusan pilihan raya.

Calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Maszlee Malik, berkata keputusan itu diambil kerana PH tidak mahu mendahului proses pelantikan yang merupakan bidang kuasa Sultan Johor.

Menurut beliau, gabungan itu sebaliknya menawarkan barisan calon yang berkelayakan dan bersedia berkhidmat kepada rakyat sekiranya diberikan mandat mentadbir negeri.

“Kami mengiktiraf peranan institusi diraja dan tidak mahu mendahului sebarang keputusan.

“Sebaliknya, kami menawarkan sekumpulan calon yang berkemampuan dan bersedia berkhidmat kepada negeri serta rakyat,” katanya selepas menghadiri sesi dialog bersama golongan belia di Iskandar Puteri.

Difahamkan mantan Menteri Pendidikan mengulas mengapa PH tidak menampilkan calon Menteri Besar sebagai ‘poster boy’ sepanjang kempen PRN Johor.

Maszlee berkata, pengalaman pilihan raya sebelum ini membuktikan pengumuman calon Menteri Besar sebelum pengundian tidak semestinya menentukan individu yang akhirnya dilantik menerajui pentadbiran negeri.

Beliau berkata, pada PRN Johor 2022, Datuk Hasni Mohammad diumumkan sebagai calon Menteri Besar oleh Barisan Nasional (BN), namun jawatan itu akhirnya disandang Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Sehubungan itu, beliau berpandangan lebih penting untuk rakyat menilai keseluruhan pasukan yang ditampilkan PH berbanding memberi tumpuan kepada seorang individu bagi jawatan Menteri Besar.

Sebelum ini, timbul spekulasi Maszlee antara pemimpin yang disebut-sebut berpotensi diangkat sebagai Menteri Besar sekiranya PH berjaya membentuk kerajaan negeri selepas PRN Johor.

Malah sejak kempen PRN Johor, Maszlee sudah beberapa kali diasak andai beliau bakal mentadbir Johor andai diberikan mandat sebagai Menteri Besar. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast