BATU PAHAT – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mengiystiharkan sokongan kepada calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit, Mohamad Yazid Bakri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Bekas Ahli Majlis Tertinggi (MKT) UMNO itu secara terbuka menyatakan sokongan menerusi poster kempen yang dimuat naik dalam Facebook miliknya.
Menurutnya yang juga bekas Speaker DUN Johor, beliau membuat pilihan berdasarkan peribadi calon dan bukan lagi atas faktor parti.
“Sekarang saya tidak berparti. Saya pilih calon kerana peribadi calon. Justeru saya pilih saudara Yazid kerana…,” katanya.
Beliau kemudian menyenaraikan lima alasan menyokong Mohamad Yazid, iaitu calon berkenaan merupakan anak jati Rengit, menetap di kawasan tersebut, memiliki rumah di Rengit serta merupakan pengerusi sebuah surau di Rengit.
Poster itu turut membawa slogan Orang Rengit Jaga Rengit selain memaparkan nombor calon dan lambang PH bagi menggesa pengundi memberikan sokongan kepada Mohamad Yazid.
Puad mengumumkan keluar daripada UMNO berkuat kuasa serta-merta pada 25 Jun lalu.
Setiausaha Agung, Asyraf Wajdi Dusuki kemudian mendakwa Mohd Puad pernah mengugut untuk keluar parti dan mengkritiknya secara terbuka jika anaknya tidak dicalonkan bagi kerusi Rengit.
Mohd Puad menang kerusi DUN Rengit pada PRN Johor 2022 dengan majoriti undi sebanyak 1,920.
Beliau memperoleh 7,903 undi secara keseluruhan, menewaskan tiga calon lain daripada Perikatan Nasional (PN), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).- MalaysiaGazette
















