BATU PAHAT – Ramalan bekas Ahli Parlimen Bangi daripada DAP, Ong Kian Ming mengatakan Barisan Nasional (BN) bakal mencatat kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor disifatkan jauh tersasar daripada realiti.
Ketua Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Datuk Fahmi Fadzil berkata, Kian Ming berhak memberikan pandangannya namun beliau tidak bersetuju dengan dakwaan kelewatan pelancaran manifesto PH serta ketiadaan calon Menteri Besar atau poster boy sebagai antara punca kelemahan.
“Dr. Ong Kian Ming sahabat saya, kawan saya dan saya selalu bertengkar dengan beliau sewaktu beliau menjadi ahli Parlimen dulu.
“Dia berhak mempunyai pandangan dia tapi pandangan dia meleset, jauh tersasar daripada realiti,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Kampung Angkat MADANI di Kampung Istana hari ini.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan yang mengaitkan kelemahan PH antaranya kerana kegagalan menamakan calon Menteri Besar dan kelewatan pelancaran manifestonya.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, PH sengaja memilih waktu pelancaran manifesto selepas semua kandungannya dimuktamadkan dan mendapat persetujuan pimpinan tertinggi gabungan.
“Bagi Pakatan Harapan, kita pilih masa setelah kita rasakan bahan-bahan atau ingredients kepada manifesto itu cukup lengkap dan telah mendapat persetujuan daripada pimpinan tertinggi termasuk Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.
“Saya kira ia telah dilancarkan tepat pada masanya, pada hari Jumaat yang bersamaan dengan bermulanya minggu kedua kempen.
“Jadi, cukup masa setelah kita perkenalkan calon, sekarang dua-dua pihak akan memperagakan manifesto masing-masing jadi saya rasa it’s exactly on time, tak menjadi isu,” katanya.

Sebelum ini, Kian Ming yang juga bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dilaporkan meramalkan BN berpotensi memenangi sehingga 53 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor. – MalaysiaGazette
















