KULAI – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kini berada di peringkat penilaian terhadap tahap pematuhan penyedia platform media sosial berlesen susulan penguatkuasaan Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA).
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, penilaian itu bertujuan meneliti keberkesanan pelaksanaan kedua-dua kod berkenaan, selain memastikan penyedia platform memenuhi tanggungjawab yang telah ditetapkan.
Beliau berkata, kod tersebut telah diterbitkan dan tanggungjawab jelas diletakkan ke atas penyedia platform media sosial yang dilesenkan di bawah rangka kerja SKMM.
“Platform yang dimaksudkan ialah penyedia perkhidmatan media sosial yang mempunyai lebih daripada lapan juta pengguna di Malaysia. SKMM bersama-sama penyedia platform berlesen akan mengadakan perbincangan bagi menilai tahap pematuhan mereka terhadap kod yang telah ditetapkan.
“Ketika ini kita masih berada pada peringkat penilaian untuk melihat bagaimana tahap pematuhan mereka. Kita berharap mereka dapat memberikan kerjasama yang baik dan mencapai tahap pematuhan yang diharapkan kerana langkah ini memberi manfaat kepada pengguna, khususnya kanak-kanak,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Muzikal Kalapadam Minnal FM dan Karnival Kempen Internet Selamat di Commune Lifestyle Mall di sini hari ini.
Pada 1 Jun lalu, SKMM mengumumkan penguatkuasaan CPC dan RMC di bawah ONSA, sekali gus menandakan satu langkah penting ke arah mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat untuk kanak-kanak di Malaysia.
Menurut SKMM, CPC mewajibkan pemberi perkhidmatan media sosial berlesen melaksanakan pendekatan safety by design atau keselamatan dalam reka bentuk, selain memperkukuh ciri perlindungan yang bersesuaian mengikut umur pengguna kanak-kanak.
Sementara itu, RMC pula menetapkan keperluan kepada penyedia platform untuk mengenal pasti, menilai dan mengurangkan risiko kandungan serta aktiviti dalam talian yang boleh memudaratkan pengguna, termasuk kanak-kanak.
Penguatkuasaan kedua-dua kod itu merupakan antara inisiatif kerajaan bagi memperkukuh keselamatan siber dan meningkatkan akauntabiliti penyedia platform digital, sejajar dengan usaha mewujudkan ekosistem internet yang lebih selamat, bertanggungjawab dan kondusif untuk semua lapisan masyarakat.- MalaysiaGazette
















