Pengerusi Jawatankuasa Luar Bandar, Kemiskinan dan Pembangunan Insan negeri itu , Datuk Siti Aishah Ghazali melawat ladang nanas M2 di Kampung Bikan, Kulim, Kedah.

KUALA LUMPUR – Ladang Nanas MD2 di Kampung Bikan, Kulim, Kedah menerima kunjungan rasmi Pengerusi Jawatankuasa Luar Bandar, Kemiskinan dan Pembangunan Insan negeri itu , Datuk Siti Aishah Ghazali baru-baru ini.

Lawatan tersebut merangkumi tinjauan ke blok pengeluaran yang sedang mengeluarkan hasil seluas dua ekar dan sesi taklimat perkembangan keseluruhan ladang seluas enam ekar serta sesi dialog bersama pengurusan ladang.

Pemilik bersama ladang itu, Jamaluddin Hussain berkata, pihaknya merakamkan setinggi-tinggi terima kasih atas keprihatinan Siti Aishah ke atas pembangunan agro di Daerah Kulim khusus di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN Merbau Pulas)

Katanya beliau berharap agar Kerajaan Negeri Kedah melalui pihak berkuasa tempatan dapat memberi kerjasama dalam memajukan industri nanas MD2 ini dengan mencadangkan penyediaan ruang atau tapak khas bagi mempromosikan nanas MD2.

“Ini bukan sahaja memberi maklumat kepada pengunjung luar dan tempatan, malah secara tidak langsung memberi kemudahan kepada orang ramai untuk mendapatkan hasil tani istimewa ini.

“Nanas MD2 bukan sahaja manis dan menyegarkan, malah kaya dengan zat terbaik yang baik untuk kesihatan,” katanya yang mengusahakan ladang itu bersama Ahmad Fahmin Hussain.

Sesi taklimat perkembangan keseluruhan ladang serta sesi dialog bersama pengurusan ladang bersama Datuk Siti Aishah Ghazali.

Sejak diusahakan Februari 2023, Ladang Nanas MD2 berjaya menghasilkan pengeluaran buah itu sebanyak 50 tan pengeluaran dengan jangkaan blok ladang terkini sebanyak 40 tan.

Jamaluddin bagaimanapun mengakui berdepan cabaran mengusaha pertanian itu apabila serangan penyakit dan serangga perosak serta binatang liar seperti kera, babi, tupai tanah selain harga pasaran

Namun beliau mengucapkan terima kasih kepada Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia yang bertindak sebagai agensi pemantau selain mendapat pelbagai jenis bantuan seperti anak benih dan baja

Sementara itu, Siti Aishah yang juga Ahli DUN Merbau Pulas selaku menzahirkan penghargaan atas usaha pengusaha ladang memajukan tanaman nanas MD2 berkualiti di Kulim dan memberi kata-kata perangsang kepada pekerja ladang tetap dan sambilan seramai lapan orang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast