Alzafny Ahmad. foto Bernama

SEREMBAN – Polis menahan dua pelajar lelaki selepas dipercayai merempuh seorang anggota polis ketika cuba melarikan diri daripada sekatan jalan raya, dalam Ops Samseng Jalanan di Taman Panchor Jaya di sini, semalam.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata, kedua-dua remaja masing-masing berusia 14 dan 15 tahun yang menunggang sebuah motosikal jenis Honda EX5 itu, ditahan kira-kira 6.45 petang.

“Kedua-duanya bertindak agresif dengan cuba melarikan diri dan turut merempuh seorang anggota polis, sehingga menyebabkan kecederaan lebam di kepala, pergelangan kaki kanan, tangan kanan dan pinggang.

“Mangsa kemudian menerima rawatan di Wad Kecemasan Hospital Tuanku Ja’afar dan dibenarkan pulang, selepas pemeriksaan mendapati tiada kecederaan serius,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata ,hasil ujian air kencing terhadap kedua-duanya didapati negatif dan remaja berusia 14 tahun yang juga penunggang, direman dua hari sehingga esok.

Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 186 dan Seksyen 332 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 49 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam operasi selama enam jam terbabit, termasuk tidak memakai topi keledar, tiada lesen memandu dan ubah suai ekzos selain 12 motosikal disita. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast