MUAR – Kerajaan Johor digesa tidak hanya mengejar angka pelaburan berbilion ringgit jika projek-projek besar itu gagal merapatkan jurang ekonomi antara kawasan bandar dan luar bandar.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, di sebalik status Johor yang dicanang semakin membangun, hakikatnya wujud ketidakseimbangan pembangunan yang menyaksikan kawasan luar bandar seolah-olah tertinggal dan semakin mundur.
“Situasi itu menjadi lebih parah apabila rakyat di seluruh negeri terpaksa bergelut dengan peningkatan kos sara hidup termasuk kadar sewa rumah, bil elektrik, air dan pengangkutan yang melonjak tanpa ada tanda-tanda harga barangan dapur akan turun.
“Realiti menyedihkan itu amat ketara di bandar kecil seperti Kota Tinggi yang dahulunya berstatus pusat pertumbuhan ekonomi, namun kini bertukar suram,” katanya menerusi program SKOP MG.

Beliau turut berkongsi pengalamannya ketika turun berkempen di daerah tersebut baru-baru ini dan meluahkan rasa terkejut melihat infrastruktur asas pelancongan dan ekonomi di situ langsung tidak berubah seperti waktu mudanya dahulu.
“Saya minta pegawai uruskan tempat tinggal, tak ada lah saya nak cari hotel mewah macam Hilton atau Shangri-La.
“Tapi nak cari hotel biasa bertaraf dua bintang pun tak sempurna, akhirnya terpaksa duduk di hotel sebaris kedai-kedai.
“Dulu Kota Tinggi tersohor dengan air terjunnya, tapi bila saya tanya penduduk, rupa-rupanya ia sudah ditutup.
“Bila tarikan sudah tidak ada, bandar itu makin tidak maju. Warga Felda di sekitarnya yang dulu turun seminggu sekali untuk berbelanja di situ, sekarang terpaksa beralih ke tempat lain seperti Johor Bahru,” katanya lagi.
Muhyiddin turut berkata, kerajaan negeri dengan dibantu Persekutuan seharusny merombak strategi perancangan bagi tempoh sederhana antara 15 hingga 20 tahun akan datang.
“Letakkanklah fokus utama untuk menyelesaikan masalah rakyat. Jangan hanya ghairah membawa masuk pelaburan pusat data bernilai berbilion ringgit tanpa meneliti impak jangka panjang terhadap kelangsungan hidup komuniti setempat.
“Saya dengar Singapura dah berhenti (terima pusat data), tapi Johor pula suka terima.
“Industri ini terpaksa gunakan air dan tenaga elektrik yang terlalu banyak.
“Sekarang pun sebahagian kawasan di Johor dah mula terputus bekalan air, keadaan akan jadi lebih ‘penat’ pada masa depan.
“Jadi mesej saya kepada Menteri Besar, stop it. Jangan hanya cakap fasal pelaburan tapi tak tahu implikasinya kepada negeri dan kehidupan rakyat,” ujarnya lagi.
Jelas beliau lagi, industri teknologi seperti ini tidak memerlukan tenaga kerja yang ramai atau menyediakan peluang pekerjaan yang diperlukan anak tempatan dan hanya menggunakan beberapa orang pakar sahaja.
“Seharusnya kepimpinan negeri meletakkan tanda aras pembangunan Johor lebih tinggi untuk setaraf dengan Singapura dalam tempoh jangka panjang kerana kedudukan geografinya yang istimewa.
“Langkah itu perlu bermula dengan pelan tindakan yang rapi bagi memajukan semula ekonomi domestik dan menawarkan kadar gaji yang kompetitif supaya isu penghijrahan lebih 300,000 hingga 400,000 tenaga kerja Johor ke seberang Tambak demi kelangsungan hidup dapat dihentikan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, calon-calon yang diketengahkan Bersatu mampu menjadi semak dan imbang untuk kerajaan negeri ini.
“Kita ada 16 calon yang mana semuanya ada latar belakang terbaik untuk diangkat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 ini.
“Semua yang saya kata itu, mereka sudah tahu kerana kebanyakan mereka adalah golongan profesional.
“Mandat ini perlu pengundi berikan kepada Bersatu agar isu Pembangunan di Johor ini dapat direalisasikan,” katanya.















