Kanak-kanak Palestin beratur untuk mendapatkan hidangan panas di sebuah pusat agihan makanan di Nuseirat pada 30 Jun 2025. foto AFP

TEHRAN – Rejim Israel telah membunuh lebih 21,500 kanak-kanak di Gaza sejak 8 Oktober 2023, menurut angka yang dikeluarkan Pejabat Media Kerajaan Gaza ketika wilayah itu memperingati genap 1,000 hari yang disifatkannya sebagai pembunuhan beramai-ramai oleh Israel.

Angka korban itu termasuk lebih 520 bayi yang dilahirkan ketika perang berlangsung serta 1,022 kanak-kanak berusia di bawah setahun, menurut kenyataan pejabat itu yang dikeluarkan pada Khamis, 2 Julai, sempena 1,000 hari bermulanya perang di Gaza.

Laporan itu menyatakan kanak-kanak di Gaza terus berdepan ancaman kematian, kecederaan, kebuluran, kehilangan tempat tinggal serta keruntuhan perkhidmatan asas termasuk penjagaan kesihatan, pendidikan dan perlindungan kanak-kanak susulan serangan berterusan Israel.

Sementara itu, pada 19 Jun 2026, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menyifatkan gencatan senjata yang diumumkan pada Oktober 2025 sebagai “satu ilusi yang kejam dan membawa maut” kepada kanak-kanak di Gaza berikutan pembunuhan, kecederaan dan sekatan berterusan terhadap penghantaran makanan serta bekalan perubatan.

Menurut UNICEF, sekurang-kurangnya 265 kanak-kanak Palestin terbunuh dan lebih 400 lagi cedera sejak gencatan senjata berkuat kuasa, dengan ramai mengalami kecederaan kekal yang mengubah kehidupan mereka. Agensi itu memberi amaran bahawa pembunuhan dan kecederaan kanak-kanak yang berterusan ketika tempoh gencatan senjata berisiko menjadi sesuatu yang dianggap normal.

Data yang dikeluarkan Biro Perangkaan Pusat Palestin turut menunjukkan kanak-kanak merangkumi kira-kira 30 peratus daripada keseluruhan kematian dan 26 peratus daripada jumlah mangsa yang cedera sehingga penghujung tahun 2025.

Biro itu memaklumkan lebih 10,500 kanak-kanak mengalami kecederaan serius, manakala lebih 1,000 lagi menjalani amputasi. Selain itu, hampir 4,000 kanak-kanak masih berdepan risiko kematian sekiranya tidak dipindahkan keluar dari Gaza untuk menerima rawatan perubatan pakar.

Masalah kekurangan zat makanan turut memberi kesan buruk kepada kanak-kanak.

Menurut pihak berkuasa kesihatan Gaza, seramai 157 kanak-kanak meninggal dunia akibat kebuluran dan kekurangan zat makanan sejak perang bermula, manakala 25 lagi maut akibat hipotermia di kem penempatan sementara.

Memetik data Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA), Biro Perangkaan Pusat Palestin berkata, lebih 3,700 kanak-kanak berusia antara enam hingga 59 bulan dimasukkan ke program rawatan kekurangan zat makanan pada Februari 2026, termasuk lebih 600 kes kekurangan zat makanan akut yang serius dan memerlukan rawatan segera.

Sejumlah 64 peratus kanak-kanak hanya mengambil tidak lebih daripada dua kumpulan makanan setiap hari, manakala lebih 90 peratus gagal memperoleh kepelbagaian diet minimum yang diperlukan untuk perkembangan sihat.

Manakala lebih 60 peratus kanak-kanak di Gaza dilaporkan mengalami kekurangan zat makanan akut, sekali gus mengancam pertumbuhan fizikal dan perkembangan kognitif mereka. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast