Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim melambai pada program Ramah Mesra Bersama Penduduk DUN Senggarang di Pekan Senggarang, Batu Pahat. Foto AIZAT ZAINAL, 05 JULAI 2026.

 

BATU PAHAT – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui pentadbirannya masih mempunyai kelemahan, namun memberi jaminan kerajaan akan terus melakukan penambahbaikan secara berperingkat demi kepentingan rakyat.

Beliau berkata, Kerajaan Madani yang diterajuinya komited membanteras rasuah dan salah guna kuasa, selain memastikan pemimpin yang menyeleweng dikenakan tindakan.

“Orang boleh kata Anwar dia punya banyak juga tak betul. Saya setuju, kita baiki, perlahan-lahan.

“Tapi saya nak bagitau, saya tak kasi you curi, (sama ada) you menteri, you ada kuasa kita tendang you keluar (jika bersalah),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program ‘Yok Sarap!’ bersama calon Pakatan Harapan (PH)Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang merangkap Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar di sebuah kedai kopi di Medan, Pekan Senggarang, di sini, pagi tadi.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Pengerusi PH berkata, setiap rakyat mempunyai kuasa yang sama melalui undi tanpa mengira latar belakang atau kedudukan ekonomi.

“Orang gaji kecil, tak ada kereta, naik motosikal, rumah kecil, tetapi kuasa saudara sama seperti orang kaya dan tauke besar. Kuasa itu ialah undi.

“Gunakan undi supaya ada perubahan dalam negara kita,” katanya.

Beliau turut menegaskan pentadbirannya tidak akan melindungi mana-mana menteri atau pemimpin yang terlibat dengan rasuah.

Menurut Presiden PKR itu amalan rasuah oleh pemimpin pada masa lalu telah menyebabkan negara kerugian besar, sedangkan rakyat terus berdepan tekanan kos sara hidup.

Justeru, beliau menggesa pengundi memberikan mandat kepada PH pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi membolehkan agenda reformasi dan usaha membaiki pentadbiran diteruskan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast