KUALA LUMPUR – Polis menahan pemandu berbangsa India berusia 30 tahun yang terlibat dalam kes langgar lari sehingga mengakibatkan seorang penunggang motosikal maut dalam kejadian berhampiran Hospital Kuala Lumpur, Jalan Tun Razak, di sini, kira-kira 6 pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, lelaki yang merupakan pemandu kereta BMW 320i itu ditahan ketika hadir secara sukarela ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur kira-kira jam 6.30 petang bagi membantu siasatan.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati, mangsa yang merupakan lelaki Melayu berusia 29 tahun menunggang sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC di lorong kiri, dipercayai telah dilanggar dari belakang oleh sebuah kenderaan.
Akibat pelanggaran tersebut, mangsa terjatuh di atas jalan dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Kuala Lumpur.
Pemandu kenderaan terbabit kemudiannya meninggalkan lokasi kejadian tanpa berhenti untuk memberikan bantuan.
“Bertindak hasil siasatan yang dijalankan, JSPT Kuala Lumpur telah berjaya mengesan kenderaan yang dipercayai terlibat dan mendapati ia merupakan sebuah kenderaan jenis BMW320i yang dimiliki secara sambung bayar yang digunakan oleh pemandu semasa kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambah Zamzuri, suspek ditahan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Hasil ujian pernafasan alkohol dan saringan awal air kencing didapati negatif.
Katanya, usaha sedang dijalankan bagi melengkapkan kertas siasatan untuk dirujuk ke Pihak Pendakwa Raya pada esok hari bagi tujuan pertuduhan ke mahkamah.
Orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat berkaitan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran. -MalaysiaGazette
















