JOHOR BAHRU – Beberapa penduduk Kampung Kangkar Tebrau di sini yang sebelum ini tampil membuat aduan mengenai kebanjiran warga asing di kawasan mereka mendakwa hidup dalam ketakutan selepas dipercayai menjadi sasaran intimidasi susulan laporan pendedahan itu.
Mereka mendakwa ada dalam kalangan pengadu dimarahi, diperhatikan dan diekori ketika menjalankan rutin harian, termasuk menghantar anak ke sekolah, sehingga menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan diri serta keluarga.
Seorang penduduk, Nur Alisa Mardhia Mohd Johan, 30, berkata keadaan itu menyebabkan penduduk yang sebelum ini berani tampil membuat aduan kini mula bimbang untuk bersuara.
“Kami mohon sangat pihak berkuasa bantu kami dan siasat perkara ini. Kami hidup dalam ketakutan.
“Ada penduduk yang dimarahi selepas keluar di MalaysiaGazette. Tidak kurang juga yang mendakwa diekori ketika menghantar anak ke sekolah. Kami hanya mahu hidup dengan aman dan selamat,” dedahnya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Sebelum ini MalaysiaGazette ketika tinjauan di sekitar kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa membuat pendedahan tentang kebanjiran warga Rohingya di Kampung Kangkar Tebrau.
Malah lebih mengundang kekecewaan apabila isu ini sudah didedahkan juga di MaalaysiaGazette sekitar tahun 2024 namun komuniti itu semakin bertambah dan semakin ‘berani’.
Dalam pada itu kata Nur Alisa, pihaknya membuat aduan kepada media bukan bertujuan menimbulkan kebencian terhadap mana-mana komuniti.
Sebaliknya bagi menarik perhatian pihak berkuasa supaya menyiasat dakwaan yang dibangkitkan penduduk serta mengambil tindakan sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang.
Katanya, penduduk berharap pihak berkuasa melakukan rondaan dan pemantauan keselamatan dipertingkatkan bagi memastikan mereka tidak terus berdepan tekanan selepas tampil membuat laporan.
“Kami bukan mencari masalah. Kami cuma mahu keselamatan keluarga dan penduduk kampung terjamin. Sebab itu kami berharap pihak berkuasa dapat bertindak segera.
“Bukankah ini negara kami, mengapa pula kami perlu takut dengan warga asing seperti Rohingnya? Cara mereka juga seolah-olah kebal dan kami pula perlu hidup dalam ketakutan,” ujarnya emosi.
Keluhan penduduk Kampung Kangkar Tebrau yang mendakwa kawasan mereka semakin dibanjiri ratusan komuniti Rohingya sehingga menimbulkan kebimbangan terhadap aspek keselamatan dan ketenteraman awam juga mendapat perhatian calon-calon bertanding khasnya di Dun Puteri Wangsa.
Penduduk turut mendakwa terdapat pelbagai aktiviti yang mencurigakan berlaku di kawasan berkenaan, termasuk kegiatan perjudian, nombor ekor, pembuangan sampah dan kecurian barang.
Juga menggerunkan penduduk setempat apabila komuniti bergaduh sesama sendiri terutamanya selepas dakwaan kalah judi, kumpulan itu juga difahamkan suka berkumpul lewat malam selain membuat bising namun ‘pantang’ ditegur.
Penduduk tempatan kini menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan menyeluruh dan mengambil tindakan tegas sekiranya dakwaan tersebut didapati benar.
Susulan pendedahan itu, penduduk berharap tindakan penguatkuasaan dapat dipercepatkan selain memastikan keselamatan mereka sebagai pengadu terus terpelihara agar tidak terus hidup dalam kebimbangan. -MalaysiaGazette
Maszlee mahu tindakan serius isu penempatan Rohingya di Kangkar Tebrau
















