Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersalaman ketika hadir pada Majlis Ramah Mesra Masyarakat Kaum India sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Perling, Johor Bahru. Foto FAREEZ FADZIL, 04 JULAI 2026.

KEHADIRAN lebih 2,000 penyokong yang membanjiri ceramah Barisan Nasional (BN) di Perling semalam di sini bukan sekadar memperlihatkan kekuatan jentera parti.

Malah mengundang persoalan lebih besar, sejauh mana pengaruh Presiden UMNO BN,  Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi masih mampu menjadi pemangkin sokongan dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Lebih menarik perhatian, lautan penyokong itu turut disertai masyarakat India yang hadir seawal petang bagi mendapatkan tempat, malah ramai dilihat tidak berganjak sehingga tamat ucapan Ahmad Zahid.

Ada yang datang bersama keluarga, mengibarkan bendera BN dan menyambut ketibaan pemimpin itu dengan sorakan serta tepukan gemuruh.

Walaupun UMNO sering dikaitkan sebagai parti yang bertunjangkan sokongan orang Melayu, sambutan diterima Ahmad Zahid di kawasan bandar bercampur seperti Perling, memberi gambaran beliau masih mempunyai daya tarikan tersendiri apabila turun berkempen bersama parti-parti komponen BN, khususnya MIC dan MCA serta ‘Friends of BN’.

Dalam politik pilihan raya, kehadiran ribuan penyokong sememangnya tidak boleh diterjemahkan secara langsung sebagai undi.

Namun ia sering dijadikan petunjuk awal terhadap momentum sesebuah parti, terutama apabila kempen memasuki fasa terakhir dan setiap program menjadi ukuran kepada tahap keyakinan penyokong.

Kekuatan terbesar Ahmad Zahid bukan semata-mata bergantung kepada populariti individu sebaliknya dilihat berjaya menggerakkan keseluruhan jentera UMNO dan BN, daripada kepimpinan negeri sehingga ke akar umbi, sesuatu yang menjadi antara kekuatan tradisi gabungan itu sejak sekian lama.

Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Majlis Ramah Mesra Masyarakat Kaum India sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Perling, Johor Bahru. Foto FAREEZ FADZIL, 04 JULAI 2026.

Sebagai Presiden UMNO, beliau juga mempunyai kelebihan menyatukan seluruh kepimpinan parti di bawah satu naratif yang sama, iaitu memastikan BN mempertahankan Johor sebagai negeri yang menjadi asas kekuatan parti.

Pendekatan itu memberi keyakinan kepada jentera bahawa mereka bergerak dengan hala tuju yang jelas sepanjang tempoh berkempen.

Di pentas ceramah pula, Ahmad Zahid dilihat konsisten membawa mesej mengenai kestabilan politik, kesinambungan pembangunan dan kerjasama antara kerajaan negeri serta Kerajaan Persekutuan.

Naratif sedemikian lebih mudah diterima sebahagian pengundi yang mahu melihat pentadbiran yang stabil serta mampu meneruskan agenda pembangunan ekonomi negeri.

Dalam kalangan masyarakat India pula, hubungan Ahmad Zahid dengan MIC sejak bertahun-tahun lalu dilihat menjadi antara faktor yang memudahkan beliau diterima dalam program melibatkan komuniti itu.

Orang ramai hadir pada Majlis Ramah Mesra Masyarakat Kaum India sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 di Perling, Johor Bahru. Foto FAREEZ FADZIL, 04 JULAI 2026.

Kehadiran pemimpin MIC di setiap siri kempen bersama beliau turut memperlihatkan kerjasama yang masih kukuh dalam BN.

Perling sendiri mempunyai komposisi pengundi pelbagai kaum, menjadikan sokongan daripada masyarakat India antara elemen penting dalam menentukan keputusan pilihan raya.

Justeru, kehadiran ribuan penyokong daripada komuniti itu pada ceramah berkenaan memberi isyarat bahawa BN masih mempunyai ruang untuk mengekalkan pengaruh dalam segmen pengundi tersebut.

Dalam beberapa siri kempen sebelum ini, Ahmad Zahid juga dilihat lebih cenderung mengetengahkan calon tempatan dan memberi ruang kepada mereka memperkenalkan tawaran kepada pengundi, berbanding menjadikan dirinya sebagai fokus utama.

Pendekatan itu membolehkan kempen BN dilihat lebih berorientasikan pasukan berbanding individu.

Ramai berpandangan, pengalaman Ahmad Zahid mengharungi pelbagai pilihan raya turut menjadikan beliau antara aset penting BN dalam menyusun strategi dan menaikkan semangat jentera di lapangan.

Dalam pertandingan yang sengit, keupayaan menggerakkan penyokong keluar berkempen dan seterusnya keluar mengundi sering menjadi faktor pembeza antara kemenangan dan kekalahan.

Namun, ujian sebenar hanya akan terjawab pada hari pengundian, kehadiran ribuan penyokong di Perling mungkin memberi gambaran bahawa momentum BN semakin meningkat, tetapi ia tetap perlu diterjemahkan kepada undi di peti undi.

Apa yang pasti, sambutan luar biasa terhadap Ahmad Zahid di Perling mahupun lokasi lain di Johor membuktikan beliau masih memainkan peranan penting sebagai penggerak utama kempen BN di Johor.

Sama ada sentuhan itu mampu diterjemahkan kepada kemenangan besar gabungan berkenaan, ia bakal ditentukan oleh rakyat Johor apabila mereka membuat pilihan pada hari pengundian nanti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast