Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz akan memberi keterangan pada perbicaraan kes Jana Wibawa melibatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin di Mahkamah Tinggi, esok.

Perkembangan itu dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin pada prosiding di hadapan Hakim Noor Ruwena Md. Nurdin pada 25 Mei lalu.

Pada prosiding itu, beliau mengesahkan bahawa Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri itu akan dipanggil sebagai saksi pendakwaan ketika menjawab soalan hakim berhubung senarai saksi-saksi yang akan dipanggil memberi keterangan pada tarikh-tarikh akan datang.

Ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini, Wan Shaharuddin memberitahu, pernyataan saksi Tengku Zafrul telah diserahkan kepada pembelaan pada 15 Jun lalu.

Mahkamah sebelum ini menetapkan perbicaraan selanjutnya bersambung pada 6 hingga 17 Julai dan 27 hingga 29 Julai. Selain itu tarikh lain ditetapkan 17 hingga 21 Ogos dan 26 serta 27 Ogos.

Tarikh berikutnya pada 1, 2, 3 dan 14 September ini.

Pada prosiding sama, Hakim Noor Ruwena menarik perhatian mahkamah bahawa kes di hadapan beliau merupakan kes berprofil tinggi dan tarikh-tarikh perbicaraan telah ditetapkan sebelum ini.

Beliau meminta pihak-pihak memberi ruang agar perbicaraan berjalan dengan lancar bagi mengelakkan masa mahkamah terbazir begitu sahaja.

“Saya berharap kes pendakwaan dapat diselesaikan pada 14 September sebelum kedua-dua pihak menyiapkan penghujahan,” ujar Hakim Noor Ruwena.

Muhyiddin, 78, yang ketika itu memegang jawatan Perdana Menteri dan Presiden Bersatu, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM225.3 juta berkaitan Projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd serta Datuk Azman Yusoff bagi parti politik berkenaan.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Muhyiddin didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Ahli Parlimen Pagoh itu turut berdepan tiga pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu di cawangan bank berkenaan di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur antara Februari 2021 dan Julai 2022.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast