KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) mendakwa kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor telah diputar belit sehingga menimbulkan salah faham dalam kalangan pihak tertentu.
Exco AMK Malaysia, Atillah Sani berkata, pihak yang mengkritik kenyataan Perdana Menteri sepatutnya menyemak fakta serta memahami keseluruhan ucapan sebelum membuat sebarang dakwaan.
Menurutnya, Anwar tidak pernah menyatakan Barisan Nasional (BN) tidak layak mentadbir Johor seperti yang didakwa sesetengah pihak.
“Dalam ucapan itu, Perdana Menteri menyatakan kebimbangan sekiranya kelompok yang pernah dikaitkan dengan rasuah kembali menguasai negara.
“Malah beliau turut menegaskan bahawa sekiranya tampil dengan pasukan yang lebih bersih dan lebih baik, beliau sedia menghormatinya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan anak sulung Presiden UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid yang merujuk kepada satu laporan media berkaitan isu berkenaan.
Menerusi hantaran di Instagram, Nurulhidayah mendakwa setiap kali pilihan raya terdapat pihak yang menggunakan pendekatan sama dengan memainkan sentimen serta mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat.
Menurutnya, tindakan itu turut mengalihkan perhatian daripada perkara yang lebih penting iaitu soal pentadbiran negara, pembangunan ekonomi serta kebajikan rakyat.
“Rakyat mengundi untuk menentukan siapa yang mampu mentadbir, membangunkan ekonomi, menjaga kebajikan dan membawa masa depan yang lebih baik. Jangan hina kebijaksanaan pengundi dengan menganggap mereka hanya boleh dipengaruhi melalui propaganda dan momokan.
“Berpolitiklah dengan fakta, bertandinglah dengan idea, dan menangkanlah dengan kepercayaan rakyat. Rakyat Johor bukan mudah dipermainkan,” katanya.
Nurulhidayah dilaporkan memberikan reaksi terhadap laporan media bertajuk “BN nak kembali perintah negara ‘No Way’, tak boleh jahanam ini negeri – PM Anwar” yang diterbitkan awal hari ini.
Dalam pada itu, Atillah berkata, kritikan Anwar tidak ditujukan kepada BN sebagai sebuah parti sebaliknya kepada kelompok yang mempunyai rekod berkaitan rasuah serta usaha untuk kembali memegang tampuk pentadbiran negara.
Menurutnya, kenyataan “no way, tak boleh, jahanam ini negeri” yang dipetik sesetengah pihak juga perlu dilihat dalam konteks penuh ucapan Perdana Menteri.
“Ucapan itu merujuk kepada kebimbangan sekiranya kepimpinan yang pernah dikaitkan dengan salah guna kuasa kembali diberi mandat bukan bermaksud BN tidak boleh mentadbir Johor dalam apa jua keadaan,” katanya.
Beliau turut menegaskan, terdapat pihak yang memetik sebahagian ucapan tanpa merujuk kepada konteks penuh.
“Jika benar mahu mengkritik, kritiklah berdasarkan ucapan penuh, bukan berdasarkan tajuk yang dipotong daripada konteks sebenar.
“Jangan sampai terlalu ghairah menyerang lawan sehingga akhirnya terserlah kegagalan memahami apa yang sebenarnya diperkatakan,” katanya. – Malaysia Gazette
















