BATU PAHAT – Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan yakin Barisan Nasional (BN) akan menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kerana kerajaan negeri sudah menyantuni rakyat sejak dua tahun lalu.
Menurut Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu, BN bukan baharu berdamping dengan rakyat dalam tempoh berkempen ini sebaliknya sudah lama.
Beliau mendakwa, persiapan sudah lama dilakukan dan perkara itu tidak disadari pihak lawan dan itu adalah kelebihan yang akan membolehkan BN menang besar nanti.
“Jika BN hanya berkempen dalam seminggu dua ini mungkin akan merisaukan namun ia telah dilakukan melalui pelbagai program dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Johor sejak dua tahun lalu.
“Jika ada yang bertanya tentang kemenangan BN Johor dalam PRN kali ini adalah kerana pemimpin UMNO dan BN telah mendekati rakyat awal daripada tempoh berkampen,” katanya.
Ahmad berkata demikian selepas melakukan ziarah kasih di beberapa buah rumah asnaf bersama calon BN bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Yaani, Datuk Ahmad Najib Samuri di Parit Yaani di sini hari ini.
Kata Ahmad, pendekatan tersebut adalah kepandaian serta kebijaksanaan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang dikatakan sebagai tidak cerdik oleh sesetengah pihak.
“Setiap program yang menjuruskan kepada mendekati rakyat itu telah membuatkan rasa dihargai oleh kerajaan dan pada akhirnya akan memberikan sokongan apabila tiba musim pilihan raya seperti ini,” katanya.
Katanya, pendekatan BN itu jauh berbeza dengan parti lain yang melaksanakan program-program bersama pihak berkepentingan dan bukan bersama-sama rakyat di pedalaman.
“Untuk empat hari terakhir ini, diharapkan semua jentera parti dapat menemui seberapa ramai masyarakat khususnya pemimpin-pemimpin yang mempunyai ramai pengikut untuk membolehkan mereka memberikan sokongan kepada kita,” katanya.- MalaysiaGazette
















